Penunggang basikal maut dirempuh dari belakang

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BELAIT, 20 NOV – Seorang penunggang basikal warga asing meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kereta dari belakang dalam kejadian kemalangan di kawasan Lebuh raya Seria ByPass menghala ke Mumong hari ini.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Panaga mengesahkan menerima laporan kemalangan itu hari ini dan siasatan awal mendapati penunggang basikal itu menunggang basikal berseorangan di bahu kiri jalan raya sebelum dirempuh dari belakang.

Menurut kenyataan yang diterima di sini, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak paramedik bertugas dan punca kemalangan masih disiasat.

PPDB turut mengeluarkan nasihat kepada pengguna jalan raya untuk sentiasa peka dan fokus terhadap keadaan sekeliling ketika memandu di lebuh raya.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengelak dari sebarang insiden tidak diingini.

Keadaan basikal mangsa yang remuk selepas dirempuh dari belakang.
Kerosakan bahagian depan kereta selepas merempuh penunggang basikal tersebut.