Penunggang skuter maut bertembung lori

PARIS, 11 JUN – Seorang lelaki dalam umur 20an terbunuh di Paris selepas skuter elektriknya berlanggar dengan sebuah lori, kata sumber hari ini, di tengah kebimbangan meningkat berhubung keselamatan pengangkutan yang semakin popular di ibu negara Perancis.

Lelaki itu, 25 tahun, sedang menunggang skuter di kawasan Goutte d’Or di utara bandar apabila dia berlanggar dengan lori.

Dia dikejarkan ke hospital di mana dia meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya, kata perkhidmatan kecemasan.

Pemandu lori telah ditahan. Sumber yang rapat dengan kes itu, yang meminta namanya tidak disiarkan, berkata pemandu lori mempunyai hak di jalan raya dalam kejadian itu.

Setahun selepas muncul pertama kali di jalan raya Paris, skuter elektrik telah menimbulkan masalah besar kepada pihak berkuasa Paris yang kini bergegas untuk melaksanakan rangka kerja untuk penggunaan alat tersebut. – AFP

Dalam gambar fail yang diambil pada 1 April 2019 menunjukkan skuter elektrik Lime-S digambarkan di depan Katedral Notre-Dame de Paris di Paris. Seorang lelaki dalam umur 20an telah meninggal dunia di Paris selepas skuter elektriknya berlanggar dengan sebuah lori, kata sumber kelmarin. – AFP