Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Trend jumlah kes jangkitan harian COVID-19 telah menunjukkan penurunan dan ia merupakan petanda baik yang diharap-harapkan serta memberi semangat baharu kepada pihak kerajaan dan masyarakat dalam usaha menangani penularan wabak di negara ini.
Dayang Suriani @ Sarrah ‘Aina binti Haji Abdul Rahman dari Kampung Jerudong berpendapat, penurunan jumlah kes harian itu adalah kerana ketelusan hati seluruh rakyat dan penduduk yang mematuhi segala arahan prosedur operasi standard (SOP), protokol kesihatan dan apa jua arahan yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan.
Di samping itu, doa dan zikir secara berterusan seperti yang disarankan Kementerian Hal Ehwal Ugama juga memainkan peranan dalam penurunan jumlah kes, tambah beliau.
Justeru itu, tambahnya, semua orang harus terus menanamkan sikap bertanggungjawab dan berdisiplin demi kebaikan, kesejahteraan dan keselamatan bersama.
Sementara itu, Haji Sohaili bin Haji Mohidi dari Kampung Meragang pula berpendapat, penurunan kes positif ini mungkin sahaja timbul kerana keprihatinan seluruh rakyat
negara ini yang taat serta peka terhadap seruan titah Ulil Amri yang begitu mengambil berat tentang segala kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat.
“Suatu perkara yang mungkin kita selaku masyarakat dan rakyat di negara ini terlepas pandang adalah mengenai tanggungjawab sosial yang sewajarnya kita tangani dan praktikkan bersama khususnya mengenai tatacara pengawalan penularan wabak COVID-19.
Sejarah telah membuktikan bahawa tidak mustahil untuk melandaikan jumlah kes sehingga kepada sifar di mana kita pernah membebaskan komuniti kita dari sebarang penularan selama 457 hari (tanpa penularan COVID-19 dalam negara) sebelum terjadinya gelombang kedua apabila masuknya varian Delta,” ujarnya.
Menurut beliau, kesedaran sivik amat diperlukan di samping kesabaran seluruh rakyat dan penduduk negara ini terutamanya dalam pematuhan kepada SOP seperti menggunakan pelitup muka yang betul dan berterusan semasa dalam perkumpulan ramai, semasa dalam keadaan kurang sihat atau semasa bertugas atau membeli-belah dalam kawasan yang berhawa dingin.
Penjarakan sosial serta menjaga kebersihan diri seperti sering mencuci tangan dan sebagainya juga penting kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Manakala itu, Awang Mohd Helmy bin Haji Jamil, yang merupakan imam tingkat 3 di Masjid Rashidah Sa’datul Bolkiah, Sungai Akar juga mengucapkan rasa syukur dan dengan izin Allah SWT kes jangkitan di negara ini semakin menurun.
Menurutnya, semuanya adalah atas kerjasama semua pihak di mana masyarakat berganding bahu dalam menangani penularan wabak dan dengan berkat negara zikir juga.
Beliau menambah, rakyat Negara Brunei Darussalam khususnya yang beragama Islam juga dinasihatkan untuk sentiasa menadah tangan berdoa semoga wabak COVID-19 di negara ini akan terus hilang di bumi Darussalam khasnya di dunia umumnya.