KUALA LUMPUR, 23 MAC – Di tengah-tengah ketidaktentuan global, penurunan saham AirAsia terhad dalam dagangan awal hari ini selepas pengasas bersamanya Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun dibersihkan daripada dakwaan rasuah berkaitan dengan skandal Airbus.
Pada pukul 10:15 pagi, AirAsia Group turun empat sen kepada 64 sen berbanding penurunan awal sebanyak 10 sen dengan 36.93 juta saham bertukar tangan.
Sementara itu, AirAsia X tidak berubah pada lima sen dengan 3.83 juta saham diniagakan.
Dilaporkan bahawa DO Governance Advisory Sdn Bhd yang dilantik oleh jawatankuasa lembaga AirAsia Group telah mendapati kedua-duanya tidak terlibat melakukan kesalahan tersebut.
Kedua-duanya telah dikembalikan semula jawatan mereka masing-masing sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan dan pengerusi eksekutif AirAsia. Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, AirAsia dan AAX berkata BDO pada Isnin (16 Mac) mengemukakan laporan mereka mengenai dapatan daripada siasatan dalaman bebas.
BDO mendapati kumpulan itu mempunyani proses pemerolehan pesawat yang baik dan pembelian pesawat adalah ‘wajar dan pada harga yang menguntungkan syarikat’ dan penajaannya bagi pasukan sukan oleh Airbus didedahkan dan disokong oleh lembaga pengarah AirAsia pada masa yang berkaitan. – Bernama