BOSTON – Cuaca dingin menyerang merentasi kawasan Pantai Timur pada suhu serendah -30C tatkala warga setempat telah bersedia untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di rantau tersebut berikutan daripada kejadian ribut musim sejuk yang menyebabkan tingginya timbunan salji, angin kencang dan banjir di beberapa kawasan baru-baru ini.
Ahli kaji cuaca juga telah meramalkan angin kencang yang menyebabkan keadaan cuaca sejuk juga merentasi rantau tersebut dari Atlantik menuju ke New England.
“Ia merupakan keadaan cuaca sejuk pada tahap yang melampau,” jelas Brian Hurley yang merupakan seorang ahli meteorologi yang bertugas di Pusat Perkhidmatan Ramalan Cuaca Kebangsaan di College Park, Maryland.
Kesan tiupan angin artik secara tidak langsung boleh menurunkan suhu cuaca pada kadar serendah -15 C ke -25 sekaligus memberikan kesan buruk kepada para penduduk di kawasan Boston, Maryland, Philadelphia dan Virginia.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan juga menjelaskan bahawa kawasan Berkshire di barat Massachusetts setentunya menerima impak terbesar apabila suhu di kawasan tersebut boleh dijangkakan menurun pada tahap serendah -35C.

Badai telah bermula di Teluk Mexico sejak beberapa hari lalu dan merebak ke Florida Panhandle. Dari situ, amaran badai salji juga telah dikeluarkan di beberapa negeri yang berpotensi untuk menerima ancaman di sepanjang Laut Timur. Ternyata badai tersebut telah membawa angin selaju 113 kilometer per jam sekaligus membuatkan beberapa kawasan turut ditimpa oleh salji setinggi 46 sentimeter.
Keadaan ribut buruk ini juga telah mendorong kepada penutupan sekolah dan perniagaan, pengurangan dan pembatalan perkhidmatan penerbangan serta menjejaskan beberapa kemudahan awam yang harus dibaik pulih dengan segera. Malah beberapa perkhidmatan feri juga terpaksa ditutup terutama di kawasan pantai yang menghala ke arah Kanada.
Di New Jersey, fenomena angin kencang itu juga telah menyebabkan kebakaran di sebuah bangunan kosong.
Lebih teruk lagi apabila api yang membara itu dikatakan sukar dikawal sehingga merebak ke empat bangunan yang lain sekaligus melibatkan kebakaran kepada lima buah bangunan. Dua orang anggota bomba juga dilaporkan cedera sewaktu berusaha untuk memadamkan kebakaran tersebut.
Di Missisippi, kemudahan awam seperti tandas dilaporkan terjejas berikutan daripada kerosakan pada saluran paip. Malah warga setempat juga harus berusaha untuk membersihkan jalan yang diliputi oleh salji setinggi 15 sentimeter bagi melancarkan kembali sebarang perhubungan.
Sementara angin kencang di New England pula telah mencetuskan banjir di kawasan pesisir pantai sehingga ia berada di tahap berbahaya terutama apabila air sejuk dan berais itu melimpahi ke kawasan jalan utama dan restoran.


Malah bencana alam itu turut membuatkan pasukan penyelamat semakin giat dalam melaksanakan tugas untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terkandas
Sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan mati akibat kemalangan yang dikaitkan dengan keadaan cuaca buruk.
Pihak berkuasa menjelaskan empat orang mangsa turut dilaporkan terbunuh di North Carolina dan South Carolina selepas kenderaan mereka terbabas ke arah jalan yang diselaputi dengan salju tebal.
Selain itu, satu lagi kematian turut dilaporkan apabila cuaca buruk menghalang pemanduan mangsa tersebut sekaligus membuatkan keretanya melanggar sebuah keretapi. Tiada korban jiwa dilaporkan pada keretapi yang dilanggar itu.
Di Virginia, keadaan cuaca buruk telah membuatkan sebuah lori terbabas dan melanggar seorang kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki berusia 75 tahun juga tertimbus dalam salji tebal selepas dia berusaha untuk membersihkan kawasan letak kereta di kawasan tersebut. Pihak polis telah mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa meninggal dunia sewaktu dikejarkan ke hospital.
Ahli meterologi turut menjelaskan bahwa cuaca sejuk yang setentunya berada pada paras di bawah 0 C setentunya akan membelenggu kehidupan para penduduk di sekitar New England dalam tempoh masa terdekat ini. – AP