KUALA LUMPUR, 28 MEI – Pemakaian penutup mulut dan hidung berganda dengan mengenakan penutup kain di atas penutup perubatan, dapat membantu menapis lebih banyak zarah berbanding menggunakan penutup mulut dan hidung kain semata-mata, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Berkongsi maklumat mene-rusi infografik dalam akaun Twitter beliau, kajian oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) merumuskan bahawa pemakaian penutup mulut berganda (dengan penutup kain di atas penutup mulut perubatan) dapat mengurangkan risiko pemakai kepada pendedahan virus COVID-19.
“Walaupun ia tidak diwajibkan berserta dengan pelindung muka, ia memberikan perlindungan maksimum,” kata Dr Noor Hisham.
Menurut satu lagi infografik yang dikongsikan beliau, penutup mulut dan hidung perubatan tanpa mengikat gelung telinga menyekat 56.1 peratus zarah, penutup mulut dan hidung kain (51.4 peratus), penutup mulut dan hidung yang gelung telinganya diikat dan diselit pada telinga pemakai (77 peratus) dan penutup mulut dan hidung berganda (85.4 peratus).
Sentiasa memakai penutup perubatan dengan penutup kain untuk pemakaian berganda dan elakkan menggunakan penutup mulut jenis sama sebagai penutup mulut dan hidung berganda, menurut infografik itu. – Bernama
