Penutup hidung, mulut untuk wanita berhijab, kanak-kanak

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Dalam keadaan negara berhadapan dengan wabak COVID-19 ketika ini, penutup hidung dan mulut merupakan antara barangan yang menjadi keperluan semua orang dan terus mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna.

Sebilangan besar penutup hidung dan mulut yang terdapat di pasaran merupakan jenis untuk penggunaan umum iaitu bagi pengguna dewasa.

Oleh itu, bagi memberikan pilihan yang tetap dan memudahkan pengguna khususnya kanak-kanak dan juga golongan wanita yang berhijab, penutup hidung dan mulut keluaran Kadibutch kini boleh didapati di pasaran.

Penutup hidung dan mulut itu juga memenuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan, jelas May Lim dari Syarikat SMB Food Manufacturing Sdn Bhd yang mengimport penutup hidung dan mulut perubatan berjenama Kadibutch dari Wilayah Guangdong, China dalam temu bual bersama Media Permata, hari ini.

Beliau menerangkan bahawa penutup hidung dan mulut bagi pengguna hijab itu merupakan tempahan khusus bagi pasaran di Brunei di mana ia dihasilkan dengan maklum balas daripada pengguna-pengguna.

Ia bukan sahaja untuk pengguna yang berhijab tetapi boleh digunakan oleh semua pengguna dewasa kerana ia masih mengetengahkan tiga lapisan (3-ply layer) serta dibungkus dengan teratur dan mempunyai persijilannya tersendiri, alamat pembuat serta kod bar.

Manakala itu, bagi kanak-kanak pula, syarikatnya turut membawa penutup hidung dan mulut khusus bagi kegunaan kanak-kanak atas permintaan para pengguna khususnya ibu bapa yang inginkan penutup hidung dan mulut yang bersesuaian untuk anak-anak mereka.

May turut menjelaskan bahawa kesemua penutup hidung dan mulut yang diedarkan oleh syarikatnya mempunyai tiga lapisan di mana lapisan tengah penutup hidung dan mulut berkenaan mempunyai lapisan melt blown di mana fabrik bukan tenunan berkenaan merupakan penapis utama yang mempunyai kadar penapisan yang tinggi dengan fungsi pengasingan, penebat haba dan penyerapan minyak.

Beliau menyatakan lagi bahawa bagi ketiga-tiga jenis penutup hidung dan mulut yang dijual oleh syarikatnya, ia masih dijual pada harga yang berpatutan dengan setiap kotak mengandungi sebanyak 50 keping.

Penutup hidung dan mulut khas untuk wanita berhijab yang mana talinya sedia bersambung. – Gambar Muiz Matdani
Penutup hidung dan mulut jenama Kadibutch bagi kanak-kanak dan wanita berhijab yang memenuhi piawaian antarabangsa serta sijil kualiti, kini boleh didapatkan di pasaran.