Penutup injap tarikan utama ruangan enjin

Oleh Amri HTZ

Sebagai seorang penggemar kereta, memiliki sebuah kenderaan yang sempurna dari segi luaran kenderaan mahupun dalamannya merupakan suatu kemestian.

Ini kerana mereka merasakan bahawa kenderaan yang dimiliki merupakan sebahagian daripada ‘diri’ mereka yang turut penting untuk dihiasi. Sebuah kenderaan yang ‘cantik’ bukan sahaja dipandang dari bahagian luarannya, malahan ruangan bonet, dalaman kereta, termasuk ruangan enjin menjadi kepentingan untuk dipastikan sentiasa dalam keadaan bersih dan menarik.

Persediaan awal

Bagi memberikan penampilan yang baharu kepada penutup injap enjin kenderaan awda yang nampak lusuh, beberapa barangan perlu disediakan terlebih dahulu seperti paint remover, bahan penyahgris, kertas pasir, berus sintetik, set gasket penutup injap, plug oil seal, silikon tahan panas (hi-temp), cat sembur (primer dan base colour) tahan panas, ketuhar, bekas (untuk menempatkan penyahgris), pengikis, pelekat (sticker) dan pisau ultiliti.

Berikan wajah baharu penutup injap

Jika awda seorang yang masih ‘baharu’ dalam hal menghiasi kenderaan ini, mulakan dengan membisaikan penutup injap enjin dengan warna yang disukai. Mulakan dengan langkah membuka penutup injap menggunakan peralatan yang sesuai. Setelah keseluruhan nat dilepaskan, perlahan-lahan lepaskan penutup injap daripada kepala silinder (cylinder head) dengan cara mengangkatnya atau mengungkil menggunakan pemutar skru berbentuk flat.

Setelah melepaskannya daripada kepala silinder, bersihkan keseluruhan permukaan penutup injap menggunakan penyahgris yang telah dicampurkan dengan 20 peratus air dan sedikit serbuk pencuci (ikut arahan yang terdapat pada penyahgris yang digunakan) di dalam bekas yang tersedia.

Bagi permukaan yang sempit dan sukar untuk dibersihkan, penggunaan mesin bermata berus akan memberikan kemudahan dalam proses pembersihan.
Keseluruhan permukaan penutup injap perlu dibersihkan menggunakan penyahgris terlebih dahulu.
Permukaan yang telah disapukan dengan pelarut cat perlu dibuangkan menggunakan pengikis.
Penutup injap yang telah dibakar menggunakan ketuhar akan memberikan permukaan wrinkles dan setelah sejuk (penutup injap) pita pelekat yang ada pada permukaannya kini boleh ditanggalkan.

Perlu diambil perhatian, penutup injap enjin kenderaan sebelum tahun 2000 kebanyakannya tidak memiliki penutup tambahan bahagian atas enjin diperbuat daripada plastik bagi memberikan penampilan yang lebih menarik pada ruangan enjin. Jika kenderaan awda memiliki bahagian ini, ia perlu dibuka terlebih dahulu bagi memberikan akses kepada bahagian utama enjin.

Penyahgris yang telah dicampurkan dengan bahan yang dinyatakan tadi akan disapukan pada keseluruhan permukaan penutup injap. Biarkan penyahgris melakukan kerjanya setelah disapukan sebelum membersihkannya menggunakan air bersih. Lakukan langkah ini untuk sekurang-kurangnya tiga kali bagi memastikan kesemua kesan minyak enjin dihilangkan.

Langkah seterusnya adalah membuangkan permukaan penutup injap yang masih mempunyai cat yang telah lusuh menggunakan pelucut car (paint remover). Pastikan awda memakai kelengkapan perlin-dungan diri (PPE) bersesuaian ketika menggunakan bahan ini memandangkan ia agak bahaya jika terkena anggota badan.

Setelah menyapukan keseluruhan permukaan bercat menggunakan bahan tersebut, berikan masa lebih kurang 15 minit untuk bahan tersebut memberikan reaksi. Cat yang telah melucut daripada permukaan akan dibuangkan menggunakan scrapper dan bagi cat yang masih melekat, ulang langkah sama sehingga keseluruhan permukaan bebas daripada cat.

Bagi penutup injap yang tidak memiliki permukaan bercat, awda hanya perlu menggosokkannya menggunakan kertas pasir berukuran 400 grit. Langkah ini juga perlu dilakukan bagi penutup injap yang telah dibuangkan cat daripada permukaannya.

Permukaan yang dirasakan perlu dikekalkan dengan warna asli aluminium perlu ditutup menggunakan pelekat termasuk lubang skru dan palam cucuh (spark plug). Bagi memudahkan awda meniru bentuk yang perlu ditutupkan, gunakan kertas kosong berwarna putih dan letakkan pada permukaan yang hendak ditiru bentuknya dengan cara menggosokkan permukaan kertas menggunakan pensel dan sebagainya. Bentuk yang telah ditiru garisannya, akan dilekatkan pada permukaan perekat dan dipotong menggunakan pisau utiliti.

Untuk memastikan cat yang akan disemburkan pada permukaan penutup injap melekat kuat, penggunaan lapisan primer diperlukan pada permukaan penutup injap. Semburkan primer yang telah disediakan dengan tiga lapisan di mana setiap lapisan diberikan masa 20 minit untuk mengering.

Setelah primer mengering, gosok keseluruhan permukaan menggunakan kertas pasir berukuran 800 grit. Ini bagi memastikan permukaan menjadi lebih rata di mana penggunaan primer selain sebagai agen pelekat cat pada permukaannya, ia juga sebagai penutup kecacatan (lubang-lubang kecil) yang terdapat pada permukaan penutup injap.

Langkah seterusnya adalah menyemburkan cat yang telah dipilih pada permukaan penutup injap. Pada projek ini, efek wrinkles akan direka menggunakan cat khusus. Langkah penyemburan juga sama seperti sebelumnya di mana keseluruhan permukaan akan disemburkan dengan tiga lapisan di mana setiap lapisan perlu diberikan masa untuk mengering lebih kurang 10 minit.

Setelah lapisan ketiga disemburkan, tiba masa untuk memasukkan penutup injap ke dalam ketuhar dengan menetapkan suhu pada 75 darjah Celsius selama sejam. Dalam tempoh ini, permukaan cat akan bertukar menjadi wrinkles sekali gus menandakan projek tersebut berjaya.

Penutup injap yang ditutup sebahagiannya menggunakan pelekat sebelumnya sudah boleh ditanggalkan bagi mendedahkan permukaan tersebut. Langkah akhir adalah memasangkan semula penutup injap pada kepala silinder dan dengan penutup injap berwajah baharu tersebut, awda tidak lagi perlu malu untuk memperlihatkannya atau memaparkannya di media sosial dengan ‘keadaan’ kenderaan awda!