‘Penutup mulut batik perlu ikut piawaian KKM’

KUALA LUMPUR, 11 OGOS – Penghasilan dan pemakaian penutup mulut dan hidung fabrik bercorak batik digalakkan tetapi perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata penggunaan penutup mulut dan hidung berkenaan boleh membantu mempromosi identiti batik negara ini selain mengurangkan beban kerana boleh diulang pakai.

Nancy  berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan MyCraftShopee dan pembukaan semula cawangan Karyaneka di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata terdapat permintaan bagi penutup mulut dan hidung batik kerana ia merupakan daya tarikan terutama bagi mereka dari luar negara ini.

Ia juga bersifat mesra alam dan membantu mengurangkan 10 juta penutup mulut dan hidung yang dibuang setiap hari di negara ini. – Bernama

Datuk Seri Nancy Shukri berucap pada Majlis Pelancaran Mycraftshoppe dan Pembukaan Semula Outlet Karyaneka yang diadakan di Parlimen, kelmarin. – Bernama