Penutup mulut dan hidung wajib 1 Ogos ini

KUALA LUMPUR, 23 JULAI – Pemakaian penutup mulut dan hidung  akan diwajibkan di pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang sesak bermula 1 Ogos ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata orang ramai boleh dikompaun RM1,000 di bawah Akta 342  (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

“Keputusan ini dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata keputusan tersebut mengambil kira penambahan kluster-kluster baharu yang telah dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Beliau berkata pada masa ini, peraturan tersebut hanya dikuatkuasakan bagi menaiki semua kenderaan awam seperti LRT, MRT serta bas dan di tempat sesak seperti pasar dan pasar tani.

Sementara itu, beliau berkata spesifikasi bagi mereka yang mahu menjahit penutup mulut dan hidung sendiri akan dikeluarkan oleh KKM dalam media bagi memastikan ia menepati syarat ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – Bernama

Para pelajar memakai penutup mulut dan hidung pelbagai corak pada hari pertama persekolahan murid tahun 1 sehingga empat kelmarin. Malaysia akan mewajibkan penggunaan penutup mulut dan hidung bermula 1 Ogos, tetapi spesifikasi penutup mulut dan hidung buatan sendiri akan dikeluarkan oleh KKM tidak lama lagi. – Bernama