Penutup mulut dan hidung wajib dalam pengangkutan awam UK

LONDON, 5 JUN – Penutup mulut dan hidung akan diwajibkan ke atas pengangkutan awam di England mulai minggu depan untuk membendung penularan koronavirus, kata menteri pengangkutan, Grant Shapps semalam.

“Mulai 15 Jun, penutup mulut dan hidung adalah mandatori ke atas pengangkutan awam,” kata beliau pada taklimat harian mengenai respons kerajaan terhadap wabak koronavirus.

Kerajaan sebelum ini menasihatkan penduduk supaya memakai penutup mulut dan hidung di ruang tertutup seperti kedai dan pengangkutan awam tetapi tidak menjadikan ia wajib.

Mewajibkannya merupakan satu cadangan di Scotland, Wales dan Ireland Utara, di mana pentadbiran masing-masing bertanggungjawab terhadap pengangkutan.

Pengumuman itu dibuat sebagai sebahagian daripada pelan untuk melonggarkan sekatan lockdown di England, tatkala kadar jangkitan dan jumlah kematian akibat COVID-19 berkurangan.

Sejumlah 39,904 orang telah terkorban dalam wabak di Britain, menurut angka rasmi terbaharu, yang merupakan jumlah kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat. “Kami perlu memastikan setiap langkah pencegahan diambil di bas, kereta api, pesawat udara dan feri,” kata Shapps, menggesa penggunaan penutup mulut dan hidung sebagai ‘syarat perjalanan.’ – AFP