Penutup mulut dan hidung wajib di Sepanyol

MADRID, 4 MEI – Penutup mulut dan hidung menjadi mandatori dalam pengangkutan awam hari ini tatkala Sepanyol mengambil langkah tentatif pertama ke arah pembukaan semula sektor komersial dengan perniagaan kecil menerima pelanggan menerusi temu janji dan restoran menyediakan makanan untuk dibawa pulang.

Penduduk Sepanyol telah dikurung dalam rumah mereka selama lebih 50 hari apabila negara itu berusaha mengekang penularan virus yang meragut 25,428 nyawa setakat ini menurut angka rasmi.

Namun kadar kematian harian telah berkurangan, dengan negara pada hari ini mencatat 164 kematian dalam 24 jam, jumlah yang sama dengan Ahad yang merupakan angka paling rendah dalam hampir tujuh minggu.

Pada hari ini, jumlah kes baharu merosot kepada 545, angka paling rendah sejak negara ditutup pada 14 Mac untuk memperlahankan penyebaran virus.

Kerajaan berkata sekatan akan dibatalkan secara berperingkat dalam proses empat fasa yang akan selesai pada akhir Jun, dengan negara telah pun terlibat dalam peringkat persediaan pertama.

Hari ini, peraturan baharu dikuatkuasakan ke atas pengangkutan awam, dengan polis dan pegawai perlindungan awam mengagih jutaan penutup mulut dan hidung di stesen di seluruh negara untuk memastikan penumpang mematuhi peraturan itu. – AFP