‘Penutup mulut pintar’ dicipta

SINGAPURA, 11 SEPT – Saintis Singapura menempa kejayaan membangunkan sistem pemantauan bersepadu yang boleh dipasang pada penutup mulut dan hidung bagi mengesan gejala berkaitan COVID-19 pada pemakainya.

Sistem tersebut boleh mengukur suhu pada kulit, ketepuan darah, tekanan darah dan degupan jantung yang semuanya berkaitan dengan gejala virus.

Menurut laporan akhbar The Straits Times, sistem dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kejuruteraan Bahan Institut Sains, Teknologi dan Penyelidikan Singapura itu ketika negara itu berada dalam tempoh ‘pemutusan’ rantaian COVID-19.

Pengarahnya, Profesor Loh Xian Jun berkata, “Kami melihat ketika pesakit COVID-19 berada dalam wad pengasingan, kakitangan perubatan terpaksa mengambil bacaan suhu dan ketepuan oksigen darah setiap 30 minit untuk memantau tanda penting.

“Pada masa sama, kami mendapati COVID-19 wujud di pelbagai lokasi di hospital terbabit dan tergerak untuk membantu pekerja barisan hadapan ini mengurangkan risiko dijangkiti virus terbabit.

“Penutup mulut dan hidung pintar ini juga boleh dibekalkan kepada pesakit COVID-19 bagi membolehkan kakitangan perubatan memantau kesihatan mereka dari jauh, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Beliau membangunkan sistem yang merangkumi cip mengandungi pelbagai siri pengesan bersama rakan saintis dari Kolej Sains Material dan Kejuruteraan, Universiti Teknologi Nanyang, Profesor Chen Xiaodong. – Agensi

Penutup mulut dan hidung pintar ciptaan saintis Singapura. – Gambar dari ST