Penutupan jalan bagi kerja pembaikan paip pembetungan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan bahawa sebahagian Jalan Bunga Kenanga, Seria dan beberapa petak letak kereta ditutup sementara selama sebulan bermula hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, JKR menjelaskan bahawa penutupan berkenaan adalah bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih paip pembetung yang pecah di jalan berkenaan berhampiran dengan simpang empat Jalan Bunga Pinang dan Jalan Bunga Kenaga.

Jalan berkenaan akan dibuka semula sebaik sahaja kerja-kerja berkenaan selesai dilaksanakan.

Dalam kenyataan berasingan, JKR turut memaklumkan penutupan sementara sebahagian Jalan Raja Isteri berhampiran pusing keliling Jalan Raja Isteri dan Jalan Lorong Satu Barat yang telah bermula 17 Oktober lalu.

Penutupan sementara berkenaan, yang mengambil masa selama dua bulan, adalah diperlukan bagi kerja-kerja pembaikan paip pembetungan yang pecah di kawasan berkenaan, jelas JKR dalam kenyataannya.

Sehubungan dengan itu, JKR mengingatkan para pengguna jalan raya untuk menggunakan jalan-jalan alternatif lain dan sentiasa berhati-hati

apabila melalui kawasan-kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan mematuhi had laju yang dibenarkan demi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Livechat 8333123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam atau e-mel [email protected]

Peta yang menunjukkan penutupan sebahagian Jalan Raja Isteri bagi kerja-kerja pembaikan paip pembetungan di kawasan berkenan. – Gambar serahan JKR