Penutupan jalan bagi Projek Pembisaian Pekan Bangar

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan orang ramai terutama penduduk di Daerah Temburong bahawa jalan dan tempat letak kereta antara Kedai 12 Pintu dan Kedai Rakyat di Pekan Bangar akan ditutup sementara.

JKR dalam kenyataannya menjelaskan, penutupan berkenaan adalah bagi memberi laluan bagi Projek Pembisaian Pekan Bangar – Temburong – Pedesterian Walkway (di bawah Autoriti Kemajuan Daerah Temburong) agar dapat dilaksanakan dengan lancar. Kenyataan turut memaklumkan bahawa sepanjang projek dilaksanakan, kedai-kedai di kawasan berkenaan akan masih beroperasi seperti biasa.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mendekati kawasan-kawasan pembinaan projek dan mematuhi tanda-tanda lalu lintas yang disediakan serta memandu dengan perlahan ketika mendekati kawasan berkenaan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua pihak. Sebarang pertanyaan serta aduan, orang ramai bolehlah menghubungi JKR melalui Talian Darussalam 123 / livechat 8333123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel [email protected]