Penutupan kaunter dan pengurangan waktu operasi Kementerian Kewangan dan Ekonomi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Dalam usaha membendung dan mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 di negara ini Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah memaklumkan penutupan sementara dan pemendekan waktu operasi bagi beberapa buah kaunter perkhidmatan di jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian di bawah kementerian tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan hari ini, penutupan sementara dan pemendekan waktu operasi itu bermula pada 21 April sehingga satu tarikh yang akan di maklumkan kemudian.

Penutupan sementara kaunter-kaunter perkhidmatan jabatan-jabatan dan bahagian bahagian di Kementerian Kewangan dan Ekonomi adalah seperti kaunter-kaunter perkhidmatan di Jabatan Perbendaharaan yang mana tidak termasuk kaunter pengeluaran dan penjualan beras di Stor Negara Gadong dan kaunter perkhidmatan bahagian pembayaran.

Selain itu beberapa kaunter-kaunter di bawah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja adalah terkecuali daripada arahan penutupan sementara dan pemendekan waktu operasi seperti kaunter di pejabat-pejabat pos, kaunter di Bahagian Pendaftaran Syarikat dan Nama-nama
Perniagaan (ROCBN), kaunter Bahagian Hasil dan kaunter Bahagian Industri dan Ekosistem.

Manakala, kaunter-kaunter perkhidmatan jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian di Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang dipendekkan waktu operasinya bermula dari jam 8 pagi sehingga 2 petang adalah seperti kaunter perkhidmatan bahagian pembayaran (pengutipan cek dan pembayaran pencen) di Jabatan Perbendaharaan, Pusat Pemprosesan Mel atau pejabat-pejabat pos di Seria, Mumong, Tutong dan Muara, kaunter kewangan, Jabatan Hal Ehwal Korporat di Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik dan kaunter perkhidmatan bengkel dan pembayaran di Unit Sukatan dan Timbangan, Pusat Standard Kebangsaan.

Selain itu bagi memudahkan dan kelancaran, permohonan dan pembayaran bolehlah dibuat secara dalam talian atau menggunakan perkhidmatan drop box yang disediakan bagi membolehkan orang ramai menghadapkan borang atau dokumen permohonan untuk perkhidmatan-perkhidmatan yang dipohonkan.

Sehubungan itu, sebarang pertanyaan bolehlah dibuat melalui panggilan telefon Pusat Perkhidmatan Pelanggan di talian 2383444, Bahagian Perkhidmatan Kewangan dan Perbekalan di talian 2383666, 2383444 atau melalui WhatsApp 7373222.

Sehubungan itu, kerjasama orang ramai adalah sangat diharapkan dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang mungkin berbangkit.