Penutupan masjid, surau, balai ibadat dilanjutkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan ini memaklumkan bahawa penutupan sementara masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara yang akan berakhir hari ini adalah dilanjutkan lagi selama seminggu mulai esok, 14 hingga 20 April ini.

Perkara berkenaan diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian kesihatan.

Ketetapan perlanjutan ini diambil dalam mesyuarat khas Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan, meskipun keadaan wabak COVID-19 di negara ini terkawal, namun masih terdapat kekhuatiran tentang penularannya yang memudaratkan.

“Maka penutupan sementara masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara adalah bagi menghindari mudarat yang boleh mendatangkan bahaya kepada jemaah khasnya dan orang ramai amnya yang mana ini adalah bersesuaian dengan fatwa Yang Berhormat Mufti Kerajaan bilangan 02/2020.

“Penilaian selanjutnya akan dibuat sebelum tempoh penutupan sementara ini berakhir. Oleh itu sama-samalah kita berdoa semoga kepada Allah SWT akan melimpahkan lagi rahmat kasih sayangNya kepada kita sekalian untuk segera keluar daripada bahaya penularan wabak COVID-19 yang memudaratkan. Dengan itu kita akan kembali ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat berjemaah dan mentakmirkannya,” tambah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika memaklumkan penutupan sementara masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara dilanjutkan. – Gambar oleh Syahmi Hassan

Dalam kesempatan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sukacita mengalu-alukan beberapa trend baharu berupa inisiatif berkebajikan yang dilaksanakan oleh beberapa pihak daripada kalangan jemaah takmir masjid iaitu aktiviti bermanfaat dan mendatangkan pahala dalam suasana penutupan masjid.

“Baru-baru ini, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dan jemaah Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah Kampung Sungai Akar telah mengadakan sesi tasmik dan bertadarus Al-Quran secara online,” tambahnya.

KHEU juga sukacita mengalu-alukan inisiatif kalangan ilmuan agama seperti ahli-ahli Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam yang menyiarkan ceramah agama ringkas melalui media sosial serta inisiatif kelas-kelas Al-Quran secara online yang diungkayahkan oleh Nadi Quranic Learning Centre dan Al-Huffaz Managment yang menawarkan kelas Al-Quran secara online dan juga kelas Iqra dan Tarannum Al-Quran oleh Kumpulan AnNaghom yang terdiri daripada beberapa qari dan guru agama bagi meneruskan kegiatan pembelajaran Al-Quran di kalangan orang ramai agar tidak terhenti dalam suasana sekarang ini.

Dalam pada itu, KHEU seterusnya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada 36 buah syarikat di bawah penyelarasan Jabatan Perdana Menteri, KHEU dan Kementerian Pembangunan yang tampil membersihkan kawasan sebahagian besar masjid seluruh negara termasuklah tempat-tempat berwuduk dan bilik-bilik air.

KHEU juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada beberapa individu, persatuan-persatuan dan syarikat-syarikat yang memberikan sumbangan berupa peralatan seperti termometer dan alat-alat pembersihan sebagai persiapan masjid-masjid apabila ia dibuka dan akan digunakan nanti iaitu sebagaimana yang diusahakan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU.