Penutupan masjid, surau, balai ibadat dilanjutkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 ARPIL – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah memaklumkan bahawa penutupan sementara masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara adalah diteruskan lagi selama seminggu mulai Selasa, 7 April sehingga Isnin, 13 April nanti.

Ketetapan ini adalah sebagai langkah berwaspada bagi menghindarkan bahaya (mudarat) yang diyakini akan menjejaskan kesejahteraan dan mengancam keselamatan khususnya kepada penduduk di negara ini.

Perkara tersebut adalah antara yang dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan bahawa berdasarkan nasihat dan maklumat serta keterangan Kementerian Kesihatan, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) mendapati dan meyakini bahawa wabak COVID-19 yang sedang melanda negara pada masa ini adalah masih sangat berbahaya, menjejaskan kesejahteraan dan mengancam nyawa.

Dengan berpandukan Fatwa Mufti Kerajaan bil 02/2020 khasnya mengenai langkah menolak (menghindari) kerosakan atau kemudaratan itu lebih utama daripada mendatangi atau menghampiri kemaslahatan, maka MUIB menetapkan adalah menjadi kewajiban kepada semua pihak di negara ini untuk meneruskan langkah-langkah yang boleh mencegah penularan wabak COVID-19 pada masa ini daripada terus merebak.

“Dalam masa yang sama, laungan azan bagi menandakan waktu-waktu sembahyang adalah diteruskan seperti lazimnya dan suara sembahyang waktu berjemaah pegawai-pegawai yang bertugas dengan zikir dan doanya serta bacaan ayat-ayat Al-Quran sebelum atau sesudah sembahyang itu juga hendaklah dikumandangkan melalui pembesar suara, mengikut kesesuaiannya,” tambahnya.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama juga berkata, dalam menimbangkan ketetapan bagi melanjutkan penutupan itu, MUIB telah meneliti tiga pilihan yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan iaitu menunggu sehingga negara disahkan bebas sepenuhnya daripada jangkitan wabak, atau berpandukan kepada jangkitan terhad (limited spread) keluarga terakhir dijangkiti, atau pembukaan semula masjid, surau dan balai-balai ibadat boleh ditimbangkan ketika ini juga, dengan memenuhi syarat-syarat penjagaan kesihatan dilakukan secara berterusan bagi menghindarkan penularan wabak COVID-19.

MUIB telah menimbangkan ketiga-tiga senario pilihan yang dibentangkan itu dan menetapkan langkah yang tepat dibuat adalah memastikan masjid, surau dan balai ibadat dibuka dalam keadaan yang tidak akan membahayakan jemaah yang datang dan orang lain secara umumnya.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika berucap pada sidang media berkenaan. – Gambar oleh Syahmi Hassan