Penutupan sementara pasar, gerai bagi pembersihan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) melalui Unit Pasar dan Gerai memaklumkan para penjaja dan orang ramai mengenai penutupan sementara pasar dan gerai di bawah kawalan jabatan berkenaan.

Penutupan selama sehari itu adalah bagi melakukan kerja-kerja pembersihan dalam usaha menangani penularan COVID-19 di negara ini selain menjamin kesejahteraan dan keselamatan orang ramai.

Jabatan berkenaan akan mula melakukan kerja pembersihan di gerai Pasar Pantai Jerudong pada 10 November dan diikuti gerai Simpang 51, STKRJ Rimba pada 13 November seterusnya Gerai Muafakat Kampung Selayun pada 17 November ini.

Manakala itu, gerai Kampung Sengkurong akan ditutup sementara pada 20 November seterusnya Gerai Aneka Ria RPN Rimba pada 24 November dan pada 27 November, kerja pembersihan akan dijalankan di gerai Kampung Jangsak.

Sehubungan itu, JDBM meminta kerjasama para penjaja supaya dapat membersihkan bangku atau petak masing-masing sebelum kempen diadakan bagi memudahkan perlaksanaan kerja-kerja pembersihan nanti. Kerjasama dalam hal berkenaan adalah sangat-sangat diharapkan dan tidak lupa diucapkan terima kasih.

Pihak jabatan turut menyeru peniaga-peniaga dan orang ramai khususnya pemilik-pemilik bangku atau petak supaya akan dapat menjaga dan menitikberatkan kebersihan di kawasan perniagaan mereka.

Ini terutama dari segi penyediaan dan tatacara pengendalian yang sempurna dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan bagi sama-sama mencegah penularan COVID-19 di negara ini.