Penutupan sempadan AS, Kanada, Mexico dilanjutkan

WASHINGTON, 20 NOV – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pintu sempadannya dengan dua negara jiran, Kanada dan Mexico akan dilanjutkan hingga 21 Disember ini.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Chad Wolf, berkata keputusan itu dibuat bagi membendung penularan COVID-19.

“Dalam meneruskan usaha menangani penularan COVID-19, AS, Mexico dan Kanada akan melanjutkan sekatan membabitkan perjalanan ‘tidak penting’ sehingga 21 Disember.

“Kami akan bekerjasama erat dengan Mexico dan Kanada untuk membenarkan perjalanan dan perdagangan penting sahaja bagi melindungi rakyat kami daripada virus,” katanya melalui kenyataan di Twitter, di sini, semalam.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Awam Kanada, Bill Blair turut mengesahkan keputusan melanjutkan penutupan pintu sempadan itu di Twitter. “Kami meneruskan keputusan penutupan ini yang dibuat berdasarkan kepentingan nasihat kesihatan awam bagi memastikan warga Kanada selamat,” katanya.

Sempadan AS-Kanada, sempadan darat terpanjang di dunia ditutup sejak Mac lalu dan penutupan itu dilanjutkan setiap bulan sejak tempoh itu.

Sepanjang penutupan itu, hanya perdagangan membabitkan penghantaran barang dan peralatan serta perjalanan penting saja dibenarkan. – AFP