‘Penutupan sempadan di NZ mungkin lebih lama’

WELLINGTON, 26 JAN – Sempadan New Zealand kemungkinan akan ditutup hampir sepanjang tahun ini ketika para pegawai kesihatan menantikan kemasukan vaksin global, Perdana Menteri Jacinda Ardern memperingatkan hari ini.

Ardern berkata kemunculan kes pertama penularan dalam komuniti di New Zealand berlaku pada minggu lalu selepas lebih dari dua bulan, menyebabkan potensi penularan secara berleluasa di negara yang meraih pujian global kerana berjaya mengatasi penularan koronavirus.

Dia seterusnya berkata kerajaannya tidak akan membuka kembali sempadannya – yang telah ditutup secara efektif untuk semua orang kecuali warga yang kembali ke negara itu sejak Mac lalu – ketika wabak masih berleluasa di seluruh dunia.

“Memandangkan risiko yang berlaku di sekeliling kita dan ketidakpastian bilakah vaksin global boleh diperoleh, kami meramalkan sempadan negara ini akan terus ditutup sepanjang tahun ini,” katanya kepada wartawan.

Namun, Ardern berkata New Zealand akan terus melakukan ‘gelembung perjalanan’ dengan negara-negara kepulauan Australia dan Pasifik, yang juga sebahagian besarnya berhasil mengatasi penularan virus tersebut.

Rancangan untuk membuka gelembung perjalanan pada akhir bulan Mac dipersoalkan ketika Australia menangguhkan perjalanan bebas kuarantin untuk warga Kiwi sebagai tindak balas terhadap kes penularan komuniti terbaharu.

Menurut Ardern, kes itu merupakan seorang warga New Zealand berusia 56 tahun yang baru pulang dari Eropah – kini dalam rawatan dan mengkritik Australia kerana mengenakan semula kuarantin untuk warga New Zealand.

Para pegawai di Canberra kelmarin berkata bahawa sekatan terhadap warga New Zealand telah dikuatkuasakan.– AFP

Sempadan New Zealand kemungkinan akan ditutup hampir sepanjang tahun ini ketika para pegawai kesihatan berkata tidak ada kepastian berkenaan bilakah kemasukan vaksin global ke negara itu. – AFP