Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Penyakit hati misteri ragut 3 jiwa kanak-kanak di Indonesia

    JAKARTA, 3 MEI – Tiga orang kanak-kanak di Indonesia telah meninggal dunia akibat penyakit hati misteri, kementerian kesihatan negara itu berkata, meningkatkan angka kematian global kepada sekurang-kurangnya empat akibat penyakit membawa maut yang membingungkan doktor-doktor dari Amerika Syarikat (AS) hingga Asia itu.

    Strain teruk hepatitis akut ini telah dikenal pasti dalam kalangan 230 orang kanak-kanak di 20 buah negara dalam beberapa minggu kebelakangan, meningkatkan kebimbangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai ‘asal tidak diketahui’ penyakit berkenaan.

    Simptom yang dihadapi kanak-kanak berkenaan termasuk mual, muntah, cirit-birit dan sakit abdomen, sebelum hati mereka menunjukkan tanda-tanda keradangan. Sekurang-kurangnya satu kematian telah direkodkan sebelum ini.

    Kementerian Kesihatan Indonesia mengatakan tiga orang kanak-kanak telah meninggal dunia di sebuah hospital di ibu negara Jakarta bulan lalu, selepas mereka menunjukkan simptom-simptom berkenaan.

    Kanak-kanak – berusia dua, lapan dan 11 tahun itu – juga mengalami demam, penyakit kuning, menggigil dan tidak sedarkan diri, kata jurucakap kementerian, Siti Nadia Tarmizi kepada AFP.

    “Pada masa ini, kami mensyaki kes itu sebagai hepatitis akut namun kami perlu mengesahkan yang ia bukan disebabkan virus hepatitis A, B, C, D dan Rb,” kata Siti Nadia.

    Menurutnya, Kementerian Kesi-hatan sedang menyiasat punca penyakit itu dengan menjalankan pa-nel ujian virus yang lengkap.

    Kementerian juga akan menggesa ibu bapa untuk segera membawa anak mereka ke hospital jika mereka menunjukkan sebarang tanda simptom terbabit.

    Kemunculan kemungkinan penyakit baharu ini hanya menjejaskan kanak-kanak – terutama mereka yang berusia 10 tahun dengan tidak ada tanda penyakit sebelumnya – telah mencetuskan riak kebimbangan dalam kalangan komuniti kesihatan global yang sudah pun bergelut dengan COVID.

    Menurut WHO, majoriti kes itu telah muncul di Eropah, terutama-nya di Britain apabila berlaku ‘peningkatan ketara yang tidak dijangkakan’ dalam kes kanak-kanak yang sebelumnya sihat. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...