Penyakit jantung dalam kalangan orang muda dibincangkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Mesyuarat Saintifik Tahunan ke-7 Persatuan Jantung Brunei Darussalam (BCS) telah diadakan secara hibrid iaitu maya dan fizikal di Pusat Pakar Pantai Jerudong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh para presiden bagi persatuan jantung di negara-negara ASEAN diikuti dengan ucapan alu-aluan Presiden BCS, Dr Sofian Johar bagi mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat dan para jemputan daripada Kementerian Kesihatan dan undangan lainnya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menyampaikan ucapannya diikuti dengan penyampaian anugerah kepada consultant cardiologist di Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), Dr Rajinikanth Rajagopal selaku penerima Anugerah Fellowship pada tahun ini.

Sementara itu ucaptama bertajuk Preventing Heart Disease – Leveraging Digital Health pula disampaikan oleh Naib Presiden American College of Cardiology, Dr Dipti Itchhaporia yang antara lain mengongsikan bagaimana transformasi digital dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada para pesakit.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menghadiri Mesyuarat Saintifik Tahunan ke-7 BCS, kelmarin.
Rundingan meja bulat membincangkan mengenai penyakit jantung dalam kalangan orang muda di Negara Brunei Darussalam.

Beliau turut mengongsikan beberapa dapatan yang diambil daripada kajian sebelumnya yang memperlihatkan penurunan jumlah kematian pada setiap tahun bermula 1950 seiring dengan terciptanya beberapa kaedah perawatan kesihatan baharu bermula dengan prosedur pembedahan jantung pada 1954 sehinggalah perawatan dan pengenalan kaedah perubatan lainnya yang diperkenalkan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, tambah beliau, transformasi digital dalam perkhidmatan kesihatan adalah penting dalam usaha bagi meningkatkan kecekapan sistem, memperbaiki jalinan hubungan dengan pesakit, menambahkan lagi kecekapan pakar perubatan serta untuk memberi peningkatan terhadap hasil penjagaan kesihatan.

Majlis diteruskan dengan pembentangan laporan bertajuk Young Coronary Artery Disease in Brunei yang disampaikan oleh Dr Izyan Mohammad diikuti dengan sesi rundingan meja bulat antara Dr Sofian Johar, Dr Alice Yong dan Dr Rohayati mengenai laporan itu.

Program saintifik kali ini juga diisikan dengan beberapa perkongsian dalam pelbagai topik yang berkaitan kardiologi oleh para pembentang dan penceramah dari luar negara secara maya.

Mesyuarat pada tahun ini memfokuskan kepada penyakit jantung dalam kalangan orang muda, kepentingan modification risk factor dan penggunaan teknologi digital serta pembelajaran mesin dalam menangani penyakit jantung.