Penyakit sebagai penghapus dosa

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – “Jika difikirkan dan diambil positif, penyakit dan musibah juga adalah nikmat. Bilakah ia menjadi nikmat? Apabila ia diterima dengan sabar, dan sabar itu adalah sendi keimanan.

“Sabda Nabi Muhammad SAW dalam hadis sahih: ‘Tidak mendapat musibah seorang Muslim (seperti) mengalami penat atau selalu demam atau bimbang atau dukacita atau mudarat atau sedih, hatta (setakat) duri menyucuknya melainkan disebabkan musibah-musibah itu, Allah akan hapuskan dosa-dosanya.”

Dalam erti kata yang lain, bukan sakit yang diterima sahaja yang menghapus dosa malah musibah yang lebih ringan atau lebih kecil daripada sakit pun juga menjadi kafarah (penghapus dosa).

Perkara ini ditekankan oleh Penolong Pegawai Ugama, Pusat Dawah Islamiah, Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin dalam tazkirah subuh bertajuk ‘Penyakit: Nikmat atau Azab?’ bagi Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.

Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Program minggu ini dikendalikan oleh KHEU dengan disokong oleh Jabatan Perdana Menteri.

Program mingguan ini merupakan ajakkan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah pada awal waktu di masjid.

Ia turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara Bandarku Ceria memulakan langkah dan keceriaan hari dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah selain merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bersama hadirin mendengarkan tazkirah Subuh di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.