Wednesday, April 24, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Penyakit tidak berjangkit cabaran besar semasa pandemik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kanser, penyakit jantung termasuk strok, diabetes dan penyakit pernafasan kronik adalah salah satu cabaran yang masih menjadi masalah utama di seluruh dunia dan Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali.

    Di Brunei, hampir 85 peratus kematian dalam kalangan orang dewasa adalah mereka yang menghidap penyakit-penyakit tidak berjangkit. Ketika dunia dilanda wabak COVID, kajian menunjukkan mereka yang mempunyai komorbiditi berkaitan dengan NCD adalah mereka yang lebih terdedah kepada komplikasi kesihatan dan mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi, tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada pelancaran Pelan Tindakan Pelbagai Sektor Brunei Darussalam bagi Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit (BRUMAP-NCD) 2021-2025 yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

    Beliau seterusnya menerangkan bahawa apabila negara mula melaksanakan langkah-langkah pengawalan bagi menangani wabak COVID-19 seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan menjalani Perintah Kuarantin, pelbagai isu dan masalah timbul yang dialami oleh semua lapisan masyarakat dari segi perubahan tingkah laku kesihatan, tekanan akibat sekatan dan ekonomi yang tidak menentu.

    Beliau menambah, dari segi perubahan tingkah laku kesihatan, pengawalan dan pengurusan NCD telah terjejas apabila keupayaan untuk mendapatkan makanan yang sihat dan akses kepada perkhidmatan pencegahan atau promosi kesihatan sukar diperoleh justeru menyebabkan orang ramai lebih cenderung untuk tidak mengamalkan pemakanan yang sihat, tidak melakukan kegiatan fizikal dan menggunakan tembakau.

    Yang Berhormat Dato dalam ucapannya lagi menerangkan bahawa perkhidmatan kesihatan bagi pesakit yang menghidap NCD di Negara Brunei Darussalam turut terjejas disebabkan pandemik COVID-19. “Penangguhan temu janji dan ujian perubatan rutin telah melambatkan pengurusan ramai pesakit. Manakala, penjarakan fizikal, akses yang terhad ke pusat-pusat kesihatan atau klinik-klinik, farmasi dan perkhidmatan komuniti, di samping pengurangan rangkaian pengangkutan, semuanya telah menyumbang kepada pengurangan keberkesanan penjaga-an kesihatan pesakit-pesakit yang menghidap NCD.”

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap di majlis pelancaran tersebut.

    Beliau berkata pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit akan menjadi cabaran kesihatan yang dominan pada abad ke-21 di seluruh dunia termasuk di negara ini dengan kos rawatan bagi pesakit yang menghidap NCD yang sangat tinggi, bukan sahaja kepada pesakit, malah juga kepada perbelanjaan negara, sistem kesihatan serta ekonomi global. “Oleh itu, respons terhadap pencegahan dan pengawalan NCD memerlukan langkah-langkah bersepadu daripada semua peringkat khususnya dari aspek dasar, sistem kesihatan, tindakan masyarakat di Negara Brunei Darussalam dan tingkah laku individu sendiri.”

    Yang Berhormat Dato seterusnya berkata bahawa sudah hampir sedekad pelancaran dan penerbitan BruMAP-NCD yang pertama pada 2013. “Berdasarkan pengalaman perlaksanaan dan hasil dapatan penilaian BruMAP-NCD 2013-2018 yang lalu, BruMAP-NCD 2021-2025 yang kedua ini mengambil kira tindakan-tindakan yang paling berkesan dalam menangani beban NCD yang banyak memfokuskan kepada keterlibatan dan kerjasama pelbagai sektor seperti sektor kewangan, pendidikan, pertanian, perindustrian dan perdagangan, belia dan sukan, perancang bandar, pengangkutan serta sosial dan kebajikan.”

    Dalam masa yang sama, pihak berkepentingan terdiri daripada ahli-ahli bukan kerajaan, badan-badan masyarakat serta ahli-ahli akar umbi, mempunyai kekuatan tersendiri dan masing-masing mempunyai peranan dalam memberikan input, maklum balas, kerjasama dan sokongan dalam menangani isu-isu berkaitan NCD.

    “Oleh yang demikian, kerjasama secara kolektif dan bersepadu dalam menangani faktor-faktor penentu kesihatan adalah sangat penting demi mencapai respons yang lebih komprehensif dan berkesan untuk negara kita.”

    Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa selain daripada mekanisme urus tadbir yang lebih kukuh dalam menyokong perlaksanaan BruMAP-NCD 2021-2025, rangka kerja pemantauan dan penilaian yang jelas juga telah diwujudkan bagi memastikan akauntabiliti dan pelaksanaan tindakan-tindakan tepat pada masanya oleh semua pihak berkepentingan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...