Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jan – Seramai 25 orang pegawai dari Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan menghadiri bengkel ‘Evidence-Based Decision and Statistical Meta-Analysis with Applications’ bermula hari ini hingga 25 Januari di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Bengkel yang dikendalikan oleh Profesor Shahjahan Khan dari University of Southern Queensland, Toowoomba, Australia itu antara lain memfokuskan mengenai penyaluran maklumat dasar yang boleh dipercayai kepada para peserta bengkel.
Maklumat dasar berkenaan akan digunakan untuk memahami konsep dan cara Kementerian Pendidikan secara konsisten menjalankan penyelidikan bagi menyediakan maklumat sahih dan boleh dipercayai kepada penggubal dasar dalam membuat keputusan berasaskan bukti untuk menyokong penggubalan dasar pendidikan dan semakkannya.


Selain itu, bengkel tersebut juga diadakan untuk memahami konsep asas statistik dan kaedah penting menggunakan meta-analisis dengan memberikan latihan ‘hands on’ dan ilustrasi konsep asas statistik dan kaedah menggunakan Pakej Statistikal untuk Sains Sosial (SPSS) bagi membincangkan isu-isu berasaskan bukti sebelum membuat keputusan.
Oleh itu, Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan akan terus berusaha meningkatkan keupayaan sumber tenaga manusia untuk menghasilkan dasar penyelidikan yang berkualiti bagi Kementerian Pendidikan dengan menimba pengetahuan melalui kaedah meta-analisis menggunakan perisian MetaXL dan tafsirannya (output).