Penyaman udara terbakar berjaya dipadamkan

Oleh SimY.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Lima orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Pengkalan Batu, Cawangan Operasi F dikerahkan ke tempat insiden kebakaran di Kampung Katimahar, yang diketuai oleh ASO Haji Akup bin Haji Aliusin pada pukul 8:19 malam, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, menyatakan bahawa anggota bomba dan penyelamat semasa tiba di tempat kejadian mendapati satu unit penghawa udara telah terbakar dan telah berjaya dipadamkan oleh penghuni rumah. Beliau menutup suis utama elektrik rumah tersebut sebelum memadamkan kebakaran menggunakan air paip rumah berkenaan.Anggota bomba membawa sebuah alat pemadam api jenis debu kering 4kg serta menjalankan pemeriksaan keselamatan. Menurut JBP tiada korban jiwa dan kecederaan dilaporkan berlaku dengan punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

Sehubungan itu, JBP menyarankan kepada orang ramai supaya memastikan kediaman dilengkapi dengan peralatan iaitu alat pemadam api jenis debu kering 4kg dan selimut api, memastikan menutup suis elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi.

dan jika terdapat kebocoran pada gas pastikan untuk membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan serta memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Elektrik.

Keadaan penghawa dingin selepas terbakar yang berjaya dipadamkan oleh penghuni rumah. – Gambar serahan JBP