Penyampai Jejak Rasul dinobat Pendakwah Kreatif

Pengacara program Jejak Rasul dan penyampai radio, Ahmad Fedtri Yahya mengakui terkejut apabila mengetahui dirinya sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Kategori Pendakwah Kreatif 1443H (2021M), sempena sambutan Maal Hijrah 1443, Selasa lalu.

“Pada mulanya ketika dihubungi pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), ingatkan sebagai pengacara majlis tapi rupanya antara penerima. Memang terkejut,” kata. Fedtri, 40, berkata, penganugerahan diterima itu berdasarkan karya yang dihasilkan melalui program TV, lirik lagu, buku dan sebagainya.

Malah, Fedtri yang mengendalikan segmen Ilham Sanubari di stesen radio menganggap istilah pendakwah yang diberikan kepadanya lebih kepada perkongsian ilmu yang disampaikan.

“Apabila sebut mengenai pendakwah orang ingat macam ustaz. Itu yang risau juga. Tapi saya dimaklumkan pendakwah ini adalah semua orang, tak kira siapa.

“Malah pendekatan digunakan dalam menyampaikan dakwah juga ada cara tersendiri dalam hebahkan kebaikan. Jadi saya fokus pada program TV, radio, lirik lagu dan buku yang ditulis selain kreativiti di laman sosial,” katanya.

Menurut Fedtri, anugerah diterima itu juga atas kerjasama pasukan yang hebat dalam menghasilkan setiap program dan karya.

“Terkejut sangat dan pada masa sama bersyukur atas penghargaan ini. Kejayaan ini sebenarnya atas kerjasama pasukan yang hebat dalam menghasilkan karya indah seperti Jejak Rasul. Juga buat pasukan hebat dalam menghasilkan lagu-lagu berjiwa besar.

“Tidak lupa pasukan yang berjuang untuk menghasilkan buku-buku bermakna. Biar kecil tetapi istiqamah Insya-Allah. Terima kasih rakan sekerja, sahabat- sahabat sejati dan penyokong yang sentiasa memberi kata semangat. Istimewa buat keluarga, isteri dan anak-anak tercinta yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan inspirasi,” katanya. – Agensi

Ahmad Fedtri Yahya yang menerima Anugerah Khas Tokoh Kategori Pendakwah Kreatif 1443H (2021M), sempena sambutan Maal Hijrah 1443. – Agensi