Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyampai televisyen dikecam

    RIYADH,28 Jun – Pihak berkuasa Arab Saudi melancarkan siasatan selepas seorang penyampai televisyen dikatakan memakai pakaian ‘tidak sesuai’ ketika membuat laporan mengenai langkah membatalkan larangan wanita memandu yang mencetuskan perdebatan di media sosial.

    Shireen Al-Rifaie, iaitu penyampai televisyen warga Arab Saudi yang bertugas dengan Al-Aan TV yang berpangkalan di Dubai, dilaporkan memakai tudung yang longgar dan gaun yang agak terbuka hingga menampakkan seluar dan blausnya dalam video yang sudah tersebar secara meluas.

    Klip video itu mencetuskan kritikan daripada pihak konservatif di media sosial, malah menyebabkan tersebarnya tanda hashtag ‘wanita tidak berpakaian memandu di Riyadh’.

    Pihak Berkuasa Am untuk Media Audiovisual Arab Saudi berkata Selasa lalu, mereka sudah merujuk kes membabitkan Al-Rifaie itu kepada pihak penyiasat atas tuduhan ‘melanggar peraturan dan perintah’ dengan memakai pakaian yang ‘tidak sesuai’.

    Namun, Al-Rifaie menafikan tudhan itu dan memberitahu laman web berita Ajel bahawa dia memakai pakaian yang sesuai ketika membuat laporan itu.

    Ajel turut melaporkan bahawa Shireen sudah meninggalkan Arab Saudi selepas tercetusnya kontroversi itu.

    Kecaman itu juga menyebabkan ia menjadi bualan di media sosial, ketika kebanyakan penduduk Arab Saudi mengejek tajuk yang menggambarkan wanita yang berpakaian penuh sebagai ‘tidak berpakaian’.

    Ahad lalu, wanita di negara itu bergembira selepas mendapat kebenaran untuk memandu buat pertama kalinya sejak beberapa dekad, ketika negara konservatif itu membatalkan satu-satunya larangan dunia terhadap pemandu wanita. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda