NEW DELHI, 23 OGOS – Penyampai televisyen terkenal Pakistan, Jameel Farooqui mendakwa pakaiannya ditanggalkan dan dipukul ketika berada dalam tahanan polis.
“Mereka tidak ada waran tangkap. Mereka tahan saya di luar pejabat saya. Mata saya ditutup dan terus dikurung selama 12 jam,” kata Farooqui.
Rakaman video menunjukkan tangan bergari ketika dibawa ke Islamabad dari Karachi.
Farooqui berkata keluarganya tidak segera dimaklumkan mengenai keadaannya dan apabila polis membawanya ke mahkamah di Karachi pada Isnin, hakim kemudian mengeluarkan reman selama tiga hari dan membenarkan beliau dipindahkan ke Islamabad.
Beliau ditahan selepas menyiarkan video mengenai dakwaan penyeksaan dan penderaan seksual bekas penasihat perdana menteri Imran Khan, Shahbaz Gill di Islamabad awal bulan ini.
“Hanya kerana saya menyokong Imran Khan, mereka menangkap saya,” kata Farooqui dalam satu lagi video lain yang turut tular di media sosial.
Bekas menteri hak asasi manusia dan ahli politik kanan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), Shireen Mazari telah menyifatkan layanan terhadap Gill sama seperti penderaan tahanan oleh tentera Amerika di penjara Abu Ghraib di Iraq.
Farooqui, yang bekerja untuk saluran berita Bol TV, menghadapi pertuduhan “membuat tuduhan palsu” bahawa polis telah menyerang Gill.
Beberapa wartawan Pakistan terkenal turut menjadi sasaran baru-baru ini antaranya Imran Riaz Khan yang ditahan polis bulan lalu, beberapa hari selepas berucap dalam satu majlis.
Beliau berucap mengenai topik “perubahan rejim” di Pakistan yang didakwa berbaur hasutan.
Kolumnis Ayaz Amir yang turut berucap pada majlis itu telah diserang orang yang tidak dikenali di Lahore.
ARY News awal bulan ini digantung penyiarannya kerana mengkritik kerajaan dan Naib Presiden Eksekutif Kanannya Ammad Yousaf telah ditahan di Karachi.
Khuatir nyawanya terancam, penyampai terkenal saluran baharu ARY Arshad Sharif meninggalkan Pakistan beberapa hari lalu. – Bernama