Penyamun bilik solat kena 7 tahun penjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Seorang lelaki yang melakukan samun menggunakan pisau dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan 12 sebatan oleh Mahkamah Perantaraan, hari ini.

Hukuman terhadap Abdul Rashid bin Simat, 27, yang membuat pengakuan bersalah diputuskan Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar.

Dalam kejadian sekitar 6:50 petang pada 17 November 2019, tertuduh memasuki bilik solat perempuan di Bangunan Athirah, Batu Satu dan terlihat seorang wanita sedang mengerjakan solat dan satu beg di sebelah kiri wanita itu.

Ketika wanita itu sedang sujud, tertuduh mengambil kesempatan untuk mengambil beg itu dan terus berjalan menuju ke pintu.

Bagaimanapun sebelum tiba di pintu, tertuduh terdengar wanita (mangsa) itu menjerit dan melihat mangsa mendekatinya untuk menghalangnya daripada membawa keluar beg tersebut.

Tertuduh mengeluarkan pisau daripada poket belakang seluarnya dan menggesa mangsa untuk diam, mangsa yang melihat pisau itu sekali lagi menjerit kerana takut jika tertuduh akan mencederakannya.

Tertuduh terus memegang leher mangsa dan menutup mulutnya serta memukul kepala mangsa.

Bapa mangsa yang berada di bilik solat lelaki terus pergi ke bilik solat wanita dan terlihat tertuduh sedang memegang leher mangsa.

Bapa mangsa cuba menumbuk tertuduh tetapi tertuduh berjaya mengelaknya.
Tertuduh melepaskan beg mangsa dan terus melarikan diri.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.