Wednesday, November 30, 2022
29.4 C
Brunei

-

Penyangkut baju jadi kaki meja unik

Oleh Amri HTZ

Penyangkut baju atau hanger salah satu cara yang paling cepat dan mudah untuk memastikan pakaian tidak berkedut, kemas dan mudah dicari.

Ia pula mudah didapati di kedai-kedai dalam bentuk besi atau kayu dan plastik.

Kadangkala penyangkut baju yang lama, yang reka bentuknya dirasakan tidak sesuai atau rosak, hanya akan disimpan atau dibuang begitu sahaja.

Bagi mengelakkan pembaziran, penyangkut baju terpakai terutamanya yang kayu boleh dimanfaatkan atau dikitar semula.

Hal ini hanya memerlukan kreativiti di mana ia boleh disesuaikan menjadikan sesebuah rekaan menjadi unik.

Penyangkut baju daripada kayu yang telah dicantumkan menjadi satu untuk kaki meja.
Alat pendakap berbentuk L akan dipasang pada kaki meja dan bahagian bawah meja.
Laci meja yang telah dicantumkan yang kemudiannya akan dipasangkan dengan alat gelangsar.
Bahagian utama meja yang telah dicantumkan dan dilengkapi dengan alat gelangsar.

Persiapan awal penting

Dalam projek rekaan ini, penyangkut baju kayu terpakai akan dijadikan kaki sebuah meja mini rekaan.

Untuk mengikutinya, awda perlu menyediakan empat penyangkut baju kayu (pilih yang mempunyai bentuk lurus, bukanya terlalu melengkung), dua keping papan dengan lebar 1” x 12”, alat gelangsar (drawer slide) untuk laci, gergaji kayu meja dan tangan, pemutar skru, sesiku, mesin ketam kayu, alat pengepit kayu, kertas pasir, gam kayu, pendakap berbentuk L untuk kaki meja, skru, tombol laci, cat berwarna putih dan clear, mesin gerudi dan pita pengukur.

Langkah pembuatan cukup mudah

Kepingan papan yang tersedia terlebih dahulu akan diratakan permukaannya menggunakan ketam kayu bagi kayu yang mempunyai permukaan yang tidak sekata. Jika awda menggunakan papan yang telah diketam, langkah meratakannya tidaklah diperlukan lagi.

Setelah meratakannya, bagi awda yang tidak boleh mendapatkan lebar papan yang diperlukan (12”), awda boleh cantumkan kepingan papan tersebut menjadi satu menggunakan gam kayu sehinggalah mendapatkan ukuran yang diperlukan.

Sapu kedua-dua permukaan cantuman menggunakan gam kayu dan kekalkan kedudukannya menggunakan alat pengepit sehingga gam mengering. Tumpukan perhatian pada bahagian cantuman dan pastikan kedudukan kesemua kepingan papan rata memandangkan ketika tekanan diberikan pada alat pengepit, akan menyebabkan kedudukannya beralih atau menjadi bertingkat.

Lebihan gam yang telah mengering setelah proses mencantumkan kayu perlu dibersihkan menggunakan pahat kayu. Lebihan gam yang terlalu menonjol akan menyebabkan langkah pemotongan kayu nanti menjadi sukar terutama jika menggunakan mesin pemotong kayu meja. Ini disebabkan papan yang diletakkan pada permukaan meja mesin sebahagiannya tidak dalam keadaan sama rata menjadikannya tidak tetap atau bergoyang-goyang sekali gus membuatkan potongan tidak rata.

Struktur meja mini tersebut akan terbahagi kepada dua iaitu bahagian utama (luaran) dan laci (dalaman). Untuk bahagian utama, potongkan kayu dengan ukuran 59sm x 30sm dua keping dan 30sm x 18sm dua keping. Sementara untuk bahagian laci, papan berkenaan akan dipotongkan dengan ukuran 49.5sm x 27sm dua keping dan 27sm x 18sm dua keping.

Kayu-kayu yang telah dipotongkan akan dicantumkan menggunakan gam kayu dan skru. Bagi bahagian utama, papan 59sm x 30sm akan berada pada bahagian bawah dan atas manakala papan 30sm x 18sm untuk bahagian sisi. Sapukan permukaan cantuman menggunakan gam kayu secara merata sebelum mengekalkannya menggunakan skru.

Sementara untuk bahagian laci, papan 49.5sm x 27sm akan ditempatkan pada bahagian depan dan belakang sementara papan 27sm x 18sm untuk kedua-dua bahagian sisi kiri dan kanan. Sebelum mencantumkan keseluruhan bahagian, salah satu sudut bawah setiap satu bahagian kayu akan direka dengan alur bagi membolehkan papan lapis dimasukkan untuk dijadikan bahagian bawah.

Dengan menandakan jarak 1sm daripada bahagian hujung kayu (bahagian bawah), awda boleh mereka alur menggunakan mesin router denganmata straight bit berukuran 3mm, sesuai dengan ketebalan papan lapis digunakan.

Langkah mencantumkannya menjadi satu juga sama seperti langkah sebelumnya ketika mencantumkan bahagian utama.

Bagi memastikan cantuman benar-benar rata, gunakan sesiku sebagai panduan untuk mendapatkan sudut 90 darjah bagi setiap cantuman. Jika awda tidak mendapatkan kedudukan yang tepat, bahagian utama akan nampak senget bahkan bahagian laci yang direka pun mungkin tidak dapat dimasukkan. Oleh itu ketepatan dalam langkah mencantumkan amat ditekankan dalam projek ini.

Dalam memudahkan awda menarik keluar dan menolak masuk bahagian laci, mekanisme alat gelangsar akan dipasangkan pada meja mini tersebut. Bagi membolehkan awda memasangkannya, terlebih dahulu tanggalkan alat gelangsar tersebut menjadikannya kepada dua bahagian, satu untuk bahagian sisi laci dan satu lagi pada ruangan dalam bahagian utama. Gunakan skru untuk menetapkan kedudukannya.

Bagi menyembunyikan ruangan kosong terdapat pada bahagian laci yang mendedahkan mekanisme gelangsar, sekeping papan akan dicantumkan pada bahagian depan laci. Ukurannya perlulah sama dengan ruangan dalam (depan) bahagian utama di mana apabila dicantumkan nanti akan berada dalam kedudukan sama rata.

Untuk mencantumkannya, skru akan digunakan daripada bahagian dalam laci tanpa gam kayu. Tujuan cantuman sedemikian bagi membolehkan ia ditanggalkan semula jika tombol laci perlu diganti atau sebaliknya. Namun sebelum itu, kayu tersebut akan diwarnakan dengan cat berwarna putih bagi mengindahkan lagi rekaan.

Manakala bagi kaki meja mini pula, penyangkut baju jenis kayu tersedia akan dicantumkan menjadi satu. Caranya amat mudah, satukan salah satu bahagian atas daripada dua penyangkut baju digunakan menggunakan skru. Sebelum itu awda perlu menebuk lubang pada permukaan kayu bagi memberikan ruangan untuk skru dimasukkan.

Langkah ini bertujuan bagi memastikan ketika skru dimasukkan, kayu tidak akan terbelah sekali gus menjadikan cantuman tidak kukuh. Lubang yang ditebuk perlu mempunyai ukuran lebih kecil berbanding diameter skru.

Selain penggunaan skru, awda juga boleh menggunakan nat dan bolt. Langkah yang sama seperti sebelumnya, awda perlu menebuk lubang untuk ruangan nat tetapi diameter lubang tersebut perlulah sama dengan nat yang digunakan.

Apabila kesemua bahagian telah direka, kini awda hanya perlu memasangkan pendakap pada bahagian bawah meja untuk menetapkan kaki meja. Pendakap berbentuk L akan digunakan dan pastikan ia cukup kukuh dan tidak terlalu nipis.

Sebagai sokongan untuk bahagian kaki, sebatang kayu berbentuk bulat akan dicantumkan di antara kaki depan dan belakang meja pada kedua-dua belah. Ketika mencantumkannya, sapukan gam kayu pada kedua-dua permukaan cantuman diikuti dengan skru.

Langkah terakhir ialah melindungi kesemua permukaan kayu menggunakan cat sembur jenis clear. Selain penggunaan cat jenis clear, awda juga boleh menggunakan varnis namun masa untuknya mengering lebih lama berbanding cat sembur.

Ketika lapisan pertama cat mengering, permukaan kayu perlu digosok menggunakan kertas pasir berukuran 800 grit.

Langkah ini akan memastikan permukaan yang rata dan licin setelah lapisan kedua cat diberikan. Meletakkannya pada ruangan bersesuaian setentunya mampu mengubah ‘keadaan’ yang dirasakan membosankan menjadi sesuatu yang melegakan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Jutaan rakyat Bangladesh hilang tempat tinggal

DHAKA, 29 NOV – Berjuta-juta orang di Bangladesh hilang tempat tinggal dan mata pencarian akibat kesan perubahan iklim tahun ini hingga menyebabkan penghijrahan dalam negeri...

Polis kawal bandar utama China

- Advertisment -