Penyebab sesetengah ikan kuat melawan

Sebagai seorang kaki pancing atau seseorang yang baru berjinak-jinak dengan aktviti memancing setentunya pernah mengalami pergelutan dengan ikan yang memakan umpan pancingan. Justeru, ketika pergelutan ini berlaku kita akan dapat merasakan tenaga ikan itu sama ada kuat melawan atau dalam keadaan lemah.

Faktor-faktor yang menjadi ukuran kekuatan dan kelemahan ikan ialah keagresifan, kelajuan dan keupayaan berenang lebih lama, kecenderungan melompat dan melawan ketika termakan umpan. Walau bagaimanapun, satu faktor yang berkemungkinan dipersetujui ramai untuk mengaitkan kelasakan ikan adalah ‘kuasa tarikannya’, terutama sekali ketika pertarungan yang berlarutan.

Kuasa tarikan ikan sangat berkait dengan fisiologi dan biokimia otot, bahkan otot ikan memiliki beberapa ciri yang menarik. Jika ikan dipotong, anda akan dapati bahawa kebanyakan ototnya berwarna putih atau pucat. Namun, setiap jenis ikan mempunyai jumlah otot merah yang berbeza-beza, yang selalunya menganjur di sepanjang garis tengah dan dasar siripnya. Kedua-dua jenis otot ini agak berbeza dari segi bentuk dan fungsi. Nisbah otot merah dan putihlah yang membezakan kelajuan pecutan dan kuasa tarikan setiap spesies ikan.

Otot putih kekurangan kapilari darah (salur darah kecil) yang digunakan untuk pecutan permulaan apabila ikan terkena pancing. Namun akibat kekurangan bekalan darah, ia cepat penat dan sebaliknya, otot merah kaya dengan salur darah dan digunakan untuk renangan secara berterusan. Justeru, otot merah menjadi dasar kepada sirip.

Ada sesetengah ikan menggunakannya untuk renangan kekal. Selain bekalan darah, struktur kedua-dua jenis otot ini sangat berbeza. Gentian otot merah lebih halus dan disusun lebih padat, berbanding otot putih. Otot merah juga dibekalkan lebih banyak tenaga dalam bentuk pek tenaga mini dipanggil ‘mitokondria’. Oleh yang demikian, ia membekalkan lebih banyak kuasa terkumpul dalam himpunan lebih kecil.

Justeru otot merah adalah kunci untuk keupayaan ikan berjuang tanpa mengalah, di mana secara teorinya semakin banyak otot merah, semakin kuatlah kuasa tarikannya. Jadi, perkara paling ringkas yang boleh anda fikirkan tentang kuasa tarikan dan pecutan sang ikan ialah dengan mengenal pasti ikan manakah yang lebih tinggi peratusan otot merahnya, berbanding otot putih.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah ikan yang memiliki banyak otot putih daripada merah juga mampu bersikap agresif dan kuat melawan. Semua ikan laut mempunyai adaptasi fisiologi yang menakjubkan di habitatnya, termasuklah keupayaan untuk menjunam tegak dan pantas ke dasar ke air yang rendah kepekatan oksigen terlarutnya, tetapi masih mampu membekalkan oksigen kepada otot, otak dan matanya.

Setiap spesies banyak perbezaannya, tetapi terdapat juga persoalan tentang variasi daya juang antara individu, walaupun dari spesies yang sama. Dalam hal ini, genetik setentunya memainkan peranan (sesetengah ikan dilahirkan sebagai ‘atlet’ semulajadi). Sementara faktor lain seperti keadaan tubuh badan, diet dan suhu air juga memainkan peranan. – Agensi

Ketika ikan memakan umpan pancingan, kita akan mengalami pergelutan yang dapat merasa tenaga ikan itu sama ada kuat melawan atau dalam keadaan lemah. – Agensi
Jika ikan dipotong, anda akan dapati bahawa kebanyakan ototnya berwarna putih atau pucat. – Agensi