Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Dua wanita warga Filipina yang berdepan pertuduhan menyebarkan video yang mengatakan beras diimport adalah beras plastik, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.
Glind Andres Sabado, 46, didakwa menerima video yang mengandungi maklumat palsu itu melalui aplikasi WhatsApp manakala Julieta Alegria, 53, didakwa bersubahat dengan menyebarkan video itu melalui aplikasi tersebut dan menjadikannya tersebar luas sekali gus mengundang kebimbangan masyarakat negara ini.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai jahit di Jalan Tutong, pada 16 Jun 2017 antara jam 12:30 tengah hari dan 1 petang.
Video yang berdurasi selama 1:40 minit itu memperlihatkan beras plastik dengan suara wanita bercakap dalam bahasa asing.
Tarikh perbicaraan kedua-dua tertuduh akan diketahui pada 27 Julai sebaik ditetapkan oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman.
Kedua-dua wanita itu diwakili Peguam Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman dan Biji Kumar Nadasan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 35 (1) Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun dan denda $5,000.