Penyebaran berita palsu antara punca kadar vaksinasi di Pattani rendah

PATTANI, 16 NOV – Penyebaran berita palsu atau maklumat tidak tepat berkaitan vaksin COVID-19 merupakan antara punca mengapa tidak ramai hadir untuk menerima suntikan vaksin di Pattani, selatan Thailand.

Gabenor Pattani Niphan Boonluang berkata pihaknya mensasarkan suntikan vaksin bagi 10,000 individu setiap hari, tetapi hanya kira-kira 1,300 orang sahaja yang hadir untuk mendapatkan suntikan di 12 wilayah di Pattani dengan majoriti penduduknya beragama Islam.

“Penyebaran berita palsu atau maklumat tidak tepat berkaitan vaksin COVID-19 merupakan punca ramai penduduk tempatan terpengaruh dan enggan mendapatkan vaksin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Selain penyebaran berita palsu berkaitan vaksin di media sosial, Niphan berkata pihak berkuasa tempatan turut mendapati terdapat segelintir imam dan bilal tidak bertanggungjawab menyampaikan khutbah antivaksin.

Beliau berkata, pihaknya turut memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk kunjungan rumah ke rumah serta pemberian barangan keperluan dapur selain menyediakan “mobile vaccination unit” untuk menggalakkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin.

Sementara itu, Ketua Pejabat Kesihatan Awam Wilayah Pattani Dr Anurak Sarapap berkata pemimpin agama dan pengurusan masjid dan surau turut memainkan peranan mereka untuk menggalakkan orang ramai khususnya umat Islam mendapatkan suntikan vaksin. 

Beliau berkata pengurusan masjid dan surau turut menerapkan topik berkaitan vaksin COVID-19 ketika membacakan khutbah.

“Kami turut mendapatkan bantuan dan kerjasama pemimpin agama untuk menyampaikan maklumat dan fakta tepat untuk menggalakkan orang ramai mendapatkan vaksin. Kini, lebih 85 peratus daripada 776 masjid dan surau di Pattani menjalankan kempen pengambilan vaksin.

“Kami mahu memberi kefahaman kepada orang awam, khususnya umat Islam dalam  isu pengambilan vaksin COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Mayo, Pattani Razali Yadaha berkata senarai nama iman, bilal dan ahli jawatan kuasa masjid yang enggan mendapatkan vaksin akan diserahkan kepada Majlis Islam Pattani untuk tindakan lanjut.

Pattani merupakan antara wilayah di selatan Thailand masih mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi. Dalam tempoh 24 jam yang lalu, Pattani mencatatkan 323 kes. Sehingga kini, Thailand telah mencatatkan 2,030,700 kes COVID-19 dan 20,143 kematian. – Bernama