Penyedia makanan digesa sentiasa patuhi peraturan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Restoran-restoran dan kedai-kedai makan di seluruh negara sekali lagi diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dengan mengikuti semua prosedur dan tatacara penerimaan pelanggan dalam penyediaan makanan.

“Pihak Kementerian Kesihatan akan mengadakan pemeriksaan bagi memantau keadaan restoran-restoran agar sentiasa mengikuti peraturan dan jika mereka didapati tidak mematuhi peraturan ataupun ingkar, mereka boleh diambil tindakan dan dihadapkan ke mahkamah.”

Perkara tersebut ditegaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-Afiah, hari ini.

Berkenaan dengan pemakaian penutup mulut dan hidung, jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan, semua penyedia makanan di setiap restoran dikehendaki untuk memakai penutup mulut dan hidung setiap masa.

“Walaupun penggunaan penutup mulut dan hidung tidak akan memberi jaminan perlindungan daripada dijangkiti COVID-19, namun ia boleh melindungi orang lain jika anda mempunyai penyakit dan penyakit tersebut boleh menjangkiti melalui titisan.

Pelayan restoran lengkap memakai penutup mulut dan hidung ketika menyediakan makanan kepada pelanggan di salah sebuah restoran di ibu negara.

Semasa tinjauan Media Permata ke beberapa buah restoran di Daerah Brunei Muara, masih terdapat lagi restoran-restoran, gerai-gerai yang mengambil ringan tentang pemakaian penutup mulut dan hidung ketika menyediakan makanan.

Pihak Kementerian Kesihatan mengambil serius perkara ini dan menyeru pihak berkenaan untuk mengikuti guideline atau peraturan yang telah ditetapkan tambahnya.

Sebelum ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengingatkan penduduk di negara ini agar tidak merasa terlalu selesa memandangkan negara berjaya mengawal penularan virus ini, tetapi perlu terus berhati-hati dan waspada dengan mengamalkan penjarakan sosial dari semasa ke semasa.

Justeru, orang ramai khususnya tukang masak dan pelayan restoran untuk sama-sama mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa melindungi diri sendiri serta pelanggan dengan mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.

“Kita jangan merasa berpuas hati dengan keadaan sekarang, walaupun Negara Brunei Darussalam berjaya mengawal penularan wabak COVID-19, namun kita perlu
tetap berhati-hati,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.