Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Penyelam Albania jejak bom Perang Dunia Kedua

    VLORE, ALBANIA – Di bawah tebing di teluk Vlora iaitu salah sebuah tapak paling indah di Riviera Albania, seorang penyelam dilihat muncul daripada permukaan air membawa peluru meriam yang kemudiannya diletakkan dengan berhati-hati di tepian pantai yang berbatu.

    Air laut Adriatik yang jernih menyimpan seribu satu sejarah, dengan peluru dan bom tangan sejak Perang Dunia Kedua terkubur berkarat di dasar laut sekali gus menyebabkan pencemaran air dan menimbulkan ancaman kepada kehidupan laut.

    Di atas kapal penjelajah yang diberi nama ‘Pluton’, sekumpulan kira-kira 10 orang penyelam penyahlombongan Perancis dan Albania sedang dalam misi bersama untuk mencari dan mengeluarkan peluru-peluru tersebut namun tiada siapa yang tahu berapa banyak sisa yang masih belum dijumpai.

    Dalam masa kurang dari dua jam, penyelam-penyelam tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak 85 butir peluru yang kelihatan unik, yang berkemungkinan sengaja dilemparkan ke laut untuk menewaskan tentera Itali secara sembunyi lebih tujuh dekad lalu.

    “Usaha ini ialah hasil kerjasama dengan bantuan tentera laut Albania, yang lebih mengetahui tapak itu dengan baik berbanding kami,” komander kontinjen Perancis, Kapten Aymeric Barazer de Lannurien, memberitahu AFP.

    Pasukan penyelam mengendalikan penyerahan peluru-peluru dengan berhati-hati untuk dibawa ke tepian pantai. – AFP
    Seorang penyelam dilihat membawa sebutir peluru yang dipercayai daripada era Perang Dunia Kedua. – AFP
    Kapal penjelajah Pluton dilihat semasa operasi bersama antara penyelam Perancis dan Albania bagi membersihkan dasar laut Laut Adriatik daripada peluru Perang Dunia Kedua. – AFP
    Seorang askar Albania mengukur peluru yang dijumpai semasa operasi pembersihan dasar laut Laut Adriatik daripada peluru Perang Dunia Kedua di teluk Vlora, barat daya Albania. – AFP
    Di antara peluru-peluru yang dijumpai dan disusun di tepian pantai Adriatik. – AFP
    Seorang penyelam menyerahkan peluru yang dijumpai ke kapal pengangkut. – AFP

    Sebelum ini, pakar telah mendapatkan semula sejumlah 310 buah peranti semasa usaha bersama Franco-Albania pada tahun lalu.

    Barazer de Lannurien berkata, kebanyakan peluru yang ditemui adalah peluru meriam yang tersembunyi di antara celah-celah batu di dasar laut.

    Satu atau dua bom tangan
    “Kami menemui satu atau dua bom tangan yang berada di bahagian bawah celahan batu. Ia dengan mudah dapat diakses oleh penduduk setempat serta boleh membahayakan sesiapa sahaja yang melakukan aktiviti renang di sana,” katanya sambil mengimbas kembali misi pada tahun lalu.

    Kali ini, pasukan itu memberitahu bahawa mereka telah mencatatkan penemuan baharu iaitu peluru mortar dan peluru berkaliber antara 20mm hingga 155mm.

    Meskipun tiada anggaran rasmi mengenai jumlah peluru-peluru yang tenggelam, pakar menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya 20 bangkai kapal Perang Dunia Kedua terletak berhampiran dengan pantai Adriatik Albania.

    Pasukan yang terlibat dalam pencarian tersebut merupakan mereka yang mahir mengendalikan aktiviti pembuangan yang boleh membawa maut, walau bagaimanapun ambulans tetap disediakan berdekatan kawasan pencarian sebagai langkah berjaga-jaga.

    Para penyelam secara perlahan-lahan berganti-ganti menyerahkan alat letupan di antara mereka sebelum menyusunnya dengan berhati-hati di tepi pantai sekali gus mengimbau kembali konflik yang terjadi pada masa lalu.

    Tentera Albania kemudian mengumpul peluru-peluru berkenaan dan memusnahkannya di pangkalan tentera di ibu kota Tirana.

    Pasukan tersebut bukan sahaja terpaksa berdepan dengan risiko letupan yang sentiasa ada, bahkan keadaan laut yang bergelora dan cuaca panas terik.

    Sementara itu, kapten tentera Albania, Ilirian Kristo dilihat ketawa tanpa menunjukkan sebarang kerisauan di raut wajahnya sebelum hilang membuat selaman di bawah ombak yang deras.

    “Melakukan aktiviti selam bagi kerja pelupusan bom ialah satu kerjaya yang agak merbahaya, tetapi dengan keinginan dan minat yang kuat, ia akan menjadi kunci penting antara semuanya,” jelasnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...