BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Poni Divers memulakan pembersihan bawah air pertama mereka di North Pelong sebagai sebahagian dari pembersihan suku ketiga 2017, pada 9 Oktober serta berjaya mengumpul kira-kira 34 kilogram pukat terbiar.
Kempen pembersihan tersebut adalah bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, Hari Pengekalan Sedunia serta Hari Pelancongan Sedunia yang bertepatan dengan tema bagi 2017 iaitu ‘Pengekalan’ dan dikaitkan pula dengan pelancaran Pakej-pakej Selaman Pelancongan Brunei (Brunei Tourism Diving Packages) baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutupan kempen berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.
Poni Divers dalam kenyataannya berkata, seramai 24 penyelam, tiga orang menggunakan snorkel dan tiga krew bot, terdiri dari pegawai-pegawai Pelancongan Brunei, Jabatan Perikanan, Kelab Menyelam Poni dan kakitangan Poni Divers menyertai kempen pembersihan tersebut.
Sebelum memulakan pembersihan, Pengarah Urusan Poni Divers, Wong Thye Sing turut memberikan taklimat keselamatan.
Beliau juga menjelaskan bahawa inisiatif pembersihan bawah air dijalankan selepas kunjungan menyelam baru-baru ini ke Pelong yang mendapati terdapat banyak jaring yang terbiar.
Pukat-pukat tersebut adalah pukat hanyut terbiar dan dibuang ke laut selepas menangkap ikan. Ia bukan hanya setakat memerangkap dan membunuh kehidupan marin tetapi turut mengakibatkan kerosakan kepada habitat bawah air dan terumbu karang serta kerosakan kepada kapal.
Secara globalnya terdapat bertantan jaring dan tangsi yang tidak mudah lupus ditemukan setiap tahun dan terus ‘menghantui’ ikan buat beberapa tahun.
Menurut Wong, jaring-jaring ini menyumbang kira-kira 10 peratus kepada sampah marin dunia.
Para penyelam bertugas secara berhati-hati dalam pasukan yang terdiri dari dua dan tiga penyelam dan mereka diberikan penjelasan oleh Wong mengenai cara yang betul untuk membuang dan memotong jaring tanpa merosakkan terumbu dan kehidupan marin.
Poni Divers telah memulakan program jangkauan seluruh negara dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran pemuliharaan marin menerusi lawatan-lawatan ke sekolah-sekolah, bengkel, taklimat dan berbagai program untuk menjelaskan isu-isu dan ancaman yang dihadapi oleh laut.
Syarikat itu juga merancang untuk melancarkan Program Pengembangan Terumbu pada suku ketiga tahun ini, bertujuan menjadikan mereka sebagai pusat bagi pemuliharaan marin di Brunei dan memupuk sikap bertanggungjawab dari segi sosial dan alam sekitar di kalangan generasi muda.
Menurut Wong, Poni Divers bersedia untuk meletakkan aspek pemuliharaan marin sebagai perkara paling utama dalam mengembangkan operasi perniagaan mereka.
“Kami merancang untuk memperkenalkan amalan-amalan perikanan berdaya tahan kepada nelayan tempatan dan mendidik orang awam mengenai kepentingan pemuliharaan marin dan melaksanakan perubahan dengan hasil sebenar,” ujarnya.