CHITTAGONG, Bangladesh, 14 Jun – Pekerja penyelamat bergelut hari ini untuk mencari mangsa runtuhan tanah paling teruk yang melanda Bangladesh, tatkala jumlah kematian meningkat kepada 145, dengan berpuluh orang hilang.
Gambar televisyen daripada beberapa kawasan yang paling teruk terjejas menunjukkan penduduk kampung menggunakan penyodok untuk menggali mayat keluar daripada lumpur yang menimbus rumah ketika mereka tidur pada awal pagi semalam.
Pihak berkuasa berkata beratus rumah di lereng bukit ditimbus oleh runtuhan tanah di tenggara negara selepas hujan monsun lebat, dengan 343 milimeter hujan turun di kawasan itu pada Isnin.
Ketua Jabatan Pengurusan Bencana Reaz Ahmed berkata runtuhan tanah adalah yang paling teruk dalam sejarah negara dan mengingatkan jumlah kematian akan meningkat tatkala anggota menyelamat sampai ke kawasan yang terputus hubungan.
Anggota bomba di daerah Rangamati berkata mereka telah mengeluarkan 18 orang daripada lumpur semalam, tetapi tidak mempunyai tenaga manusia untuk sampai ke semua kawasan yang terjejas.
“Orang menghubungi kami dari beberapa tempat berkata orang telah tertimbus. Namun kami tidak mempunyai orang yang cukup untuk dihantar,” kata Didarul Alam, ketua perkhidmatan bomba untuk daerah Rangamati.
“Kami gagal sampai ke beberapa kawasan yang lebih terpencil disebabkan hujan. Malah di tempat berkenaan yang telah kami sampai, kami gagal menemui kesemua mayat.” Tentera berkata beribu-ribu tentera yang ditempatkan di daerah terjejas sebagai sebahagian daripada usaha untuk menumpaskan pemberontakan telah menyertai usaha menyelamat.
“Tentera kami yang bertempat di semua kawasan Bukit Chittagong telah mengambil bahagian dalam operasi menyelamat,” beritahu jurucakap angkatan bersenjata Leftenan Kolonel Rashidul Hassan kepada AFP.
Empat tentera terbunuh dalam runtuhan tanah semalam dan seorang lagi hilang. – AFP