Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyelamat terus cari mangsa gempa

    BANDAR MEXICO, 21 Sept – Mexico menunggu dengan penuh cemas hari ini bagi tanda-tanda kehidupan di sebuah sekolah runtuh di bandar itu, ketika penyelamat meneruskan usaha mencari di tengah-tengah serpihan runtuhan bagi mangsa gempa bumi 7.1 magnitud yang mengorbankan kira-kira 233 orang.

    Anggota bomba, polis, askar dan sukarelawan bekerja tanpa henti untuk memindahkan serpihan runtuhan di kawasan kejadian di negeri-negeri tengah dalam gempa bumi maut kedua Mexico bulan ini. Pencarian menjerihkan berlaku di sebuah sekolah di selatan Bandar Mexico di mana 21 kanak-kanak – berusia antara tujuh dan 13 tahun – bersama lima orang dewasa dihempap hingga mati. Kebanyakan kanak-kanak masih lagi hilang.

    Para pekerja penyelamat begitu terdesak cuba untuk mencari beberapa kanak-kanak yang dipercayai masih lagi hidup di bawah runtuhan pada beberapa jam awal hari ini – lebih 40 jam selepas gegaran gempa bumi.

    Menggunakan pengimbas terma, mereka telah mengesan tanda-tanda kehidupan di beberapa lokasi.

    Para penyelamat mencari mangsa yang masih hidup di tengah-tengah runtuhan bangunan akibat gempa bumi sehari sebelumnya di Bandar Mexico pada 20 September. – AFP

    “Kami tahu bahawa adanya kanak-kanak yang masih hidup di dalam sana (sekolah yang dimusnahkan), apa yang kami tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan mereka…tanpa menyebabkan runtuhan dan meletakkan nyawa penyelamat dalam bahaya,” koordinator penyelamat, Jose Luis Vergara memberitahu Televisa tentang nasib seorang kanak-kanak yang beritanya masih dinantikan oleh semua penduduk negara itu.

    Seorang sukarelawan – lelaki kurus dan kecil – dapat menyelitkan dirinya di satu lubang kecil menerusi runtuhan itu untuk menyelamatkan budak berkenaan dan memberikannya air serta oksigen.

    “Saya sangat letih,” katanya, menurut pihak tentera.

    Setakat ini, 11 kanak-kanak dan seorang guru telah diselamatkan dari runtuhan sekolah rendah dan menengah Enrique Rebsamen. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda