Penyelamat Turki terus gerudi runtuhan,cari mangsa gempa

ANKARA, TURKI, 27 JAN – Pasukan kecemasan Turki melakukan kerja-kerja menggerudi runtuhan hari ini, mencari dua mangsa yang dipercayai hilang dan terperangkap di bawah runtuhan bangunan selepas timur Turki dilanda gegaran kuat.

Gempa bumi berukuran magnitud 6.8 skala Richter yang melanda malam Jumaat telah membunuh sekurang-kurangnya 39 orang dan mencederakan lebih daripada 1,600 yang lain, kata pihak berkuasa. Sekurang-kurangnya 45 mangsa yang selamat dikeluarkan dari runtuhan masih hidup.

Anggota penyelamat melakukan kerja-kerja di bangunan runtuh di bandar Elazig, berusaha untuk mencari seorang wanita berusia 75 tahun dan seorang lagi, sementara saudara-mara menunggu dengan sabar berdekatan kawasan tersebut, lapor televisyen NTV. Tetapi tidak jelas sama ada kedua-dua mangsa yang hilang masih hidup atau sebaliknya.

Mayat ketiga yang hilang telah ditarik keluar daripada struktur yang runtuh semalam, menjadikan jumlah kematian gempa meningkat kepada 39 orang, lapor NTV.

Gempa tersebut telah memusnahkan 76 bangunan dan merosakkan lebih daripada 1,000 yang lain, memaksa mangsa untuk berlindung di khemah, masjid, sekolah, dewan sukan dan asrama pelajar.

Pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak pulang ke rumah yang tidak lagi selamat untuk didiami. – AP

Anggota penyelamat melakukan kerja-kerja pencarian mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan berikutan gempa bumi kuat yang merosakkan beberapa bangunan pada Jumaat, di Elazig, timur Turki. – AP