Penyelesaian air berinovatif

SINGAPURA, 11 Julai – Sebagai platform global untuk memberikan peluang bagi berkongsi dan mewujudkan penyelesaian air yang berinovatif, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air dan Kementerian Pembangunan Negara Republik Singapura, telah mengadakan ‘The World Cities Summit (WCS), Singapore International Water Week (SIWW)’ dan ‘CleanEnviro Summit Singapore (CESS)’ yang bermula dari 8 Julai hingga esok.

Sidang kemuncak itu merupakan platform kepada lebih 150 pemimpin bandar termasuk sektor awam, peniaga-peniaga eksekutif, pakar-pakar dan ahli akademik, berkumpul dan berbincang tentang bagaimana menangani isu-isu dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh setiap negara.

Delegasi Negara Brunei Darussalam ke SIWW diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan diiringi oleh Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Kerja Raya.

Pembukaan rasmi SIWW telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Ekonomi dan Sosial Dasar, Republik Singapura, Tharman Shanmugaratnam pada 8 Julai 2018.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan, acara yang diadakan setiap dua tahun ini telah mengumpulkan pihak-pihak yang berkepentingan di kalangan industri air secara global untuk berkongsi amalan terbaik dan teknologi terkini.

Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bergambar ramai bersama perwakilan-perwakilan lain ketika menghadiri Mesyuarat ‘Singapore International Water Week’ di Singapura.

Kenyataan menambah, Menteri Pembangunan juga menghadiri ‘Lee Kuan Yew World City Prize, Water Prize Lectures’ dan ‘The Environment & Water Leaders Forum’.

Penceramah-penceramah terdiri daripada pemimpin-pemimpin, pakar dari agensi kerajaan, ahli-ahli akademik dan perniagaan serta organisasi-organisasi antarabangsa termasuk Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad yang telah mengongsikan pandangan terhadap asas dari segi ekonomi dan bagaimana untuk meningkatkan sumber yang cekap dan model ekonomi yang mampu menyokong matlamat secara global seperti yang telah digariskan dalam ‘The Paris Agreement’ pada perubahan iklim yang mampu melindungi masa hadapan yang mapan.

Pada sebelah petang 8 Julai, Menteri Pembangunan telah dijemput untuk menghadiri majlis yang berprestij iaitu Penyampaian ‘Lee Kuan Yew Water Prize’ yang juga dihadiri oleh Presiden Republik Singapura, Puan Yang Terutama Halimah Yacob selaku tetamu kehormat majlis.

Dato Seri Paduka Haji Suhaimi berserta delegasi turut menghadiri ‘The Water Leaders Summit’ (WLS) dan berpeluang berkongsi pandangan, isu-isu dan perkembangan semasa serta penyelesaian mengenai pengurusan air dan sanitasi bersama perwakilan ketua-ketua bandar dan negara. Ucaptama bagi WLS telah disampaikan oleh Setiausaha Agong ke-8, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Tuan Yang Terutama Ban Ki-moon. Sepanjang SIWW berlangsung, Yang Berhormat Dato berserta delegasi berpeluang untuk membuat lawatan ke pameran-pameran berkaitan air oleh lebih 100 peserta daripada lebih 20 negara yang mempamerkan produk, teknologi dan penyelesaian terhadap industri air dan alam sekitar yang mapan.