Penyelesaian kewangan digital bagi penyampaian menyeluruh

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Peranan penyelesaian kewangan digital dalam memastikan penyampaian mampan dan menyeluruh, di Brunei dan rantau ASEAN, merupakan antara isu-isu yang diketengahkan semasa ASEAN Business Advisory Council and Investment Roundtable 2021 yang berlangsung secara maya, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), di sini, sesi maya setengah hari itu disertai oleh pemain-pemain utama industri tempatan dan global yang mewakili sektor swasta, awam dan organisasi bukan kerajaan di mana ia menyaksikan sesi panel perbincangan yang menumpukan pada teknologi kewangan (FinTech), Pelaburan ESG dan literasi kewangan digital.

Acara itu menyaksikan penyampaian ucaptama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar dalam ulasan khasnya menyentuh mengenai sifat kewangan Islam dan peranan yang dimainkan BIBD dalam mempromosikan keterangkuman dan kemapanan menerusi FinTech dan literasi kewangan.

Beliau berkata bahawa Maqasid Shariah mengulas mengenai pemuliharaan dan promosi keimanan, kehidupan, minda, progeni dan harta yang sentiasa berada dalam DNA mereka sebagai sebuah bank Islam dan menubuhkan asas rangka kerja bagi mereka untuk bergerak ke masa hadapan, untuk mencapai bukan sahaja matlamat negara iaitu Wawasan Brunei 2035 tetapi usaha yang lebih meluas untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDG).

Mubashar Khokhar ketika menyampaikan ulasan khas semasa ASEAN Business Advisory Council and Investment Roundtable 2021 yang berlangsung secara maya. – Gambar serahan BIBD

Beliau menambah, dengan kemunculan digital sebagai pemangkin transformasi mampan, ekosistem perbankan digital BIBD menyediakan sebuah platform bagi inovasi fintech serta mempromosikan lagi literasi kewangan.

Kenyataan menyatakan bahawa bank berkenaan telah melancarkan kempen Go Cashless Go Digital untuk menggalakkan pembayaran tanpa wang tunai dan digital bagi menjaga keselamatan semasa pandemik ini, serta juga menyediakan sebuah pasaran maya untuk memperkasa dan membangunkan perusahaan mikro dengan kemahiran digital menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, Community for Brunei.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan 1 BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman sebagai ahli panel perbincangan bertajuk The Role of Financial Literacy in ASEAN’s Economic Prosperity, berkata bahawa kewangan Islam melihat literasi kewangan sebagai sebuah komponen utama dalam bukan sahaja kesejahteraan individu tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya.

Daripada sudut pandangan Islam, literasi kewangan merupakan satu kemahiran kritikal yang diperlukan untuk memenuhi tanggungjawab keugamaan seseorang.

Beliau berkata bahawa ahli akademik telah menekankan empat tumpuan utama mengenai mengapa literasi kewangan Islam amat penting termasuk membolehkan komuniti untuk memilih dan menggunakan produk-produk serta perkhidmatan kewangan yang menepati keperluan mereka, mampu untuk melakukan perancangan kewangan yang lebih berasaskan syariah (selaras dengan etika Islam), mampu untuk mengelak pelaburan dalam instrumen kewangan yang samar-samar serta mempunyai kefahaman terhadap manfaat dan risiko perkhidmatan dan produk-produk kewangan.

“Peningkatan literasi dalam kewangan Islam akan membawa kepada kestabilan ekonomi kerana aktiviti-aktiviti riba dan spekulatif adalah dilarang,” kata Hajah Noraini.

Beliau menambah bahawa literasi kewangan membawa kepada kesedaran kewangan dan peningkatan permintaan bagi produk-produk kewangan yang berkaitan kepada ekonomi sebenar di mana dana Islam digunakan untuk memacu pertumbuhan aktiviti-aktiviti ekonomi sebenar.

BIBD adalah rakan kongsi utama bersama bagi ASEAN Business and Investment Summit yang akan diadakan pada lewat tahun ini.