Penyelidik China rungkai rantaian penularan lengkap Delta

GUANGZHOU, 22 SEPT – Sebuah pasukan penyelidikan di Guangzhou berjaya meleraikan rantaian transmisi lengkap mutasi Delta menerusi gabungan epidemiologi dengan teknologi penjujukan genom virus.

Pasukan ini menggunakan pendekatan multi-azimut (multi-azimuth) untuk menggambarkan penularan varian Delta di selatan China serta kinetik virus dan ciri-ciri klinikalnya.

Pada 12 September, penyelidikan berkenaan turut diterbitkan di EclinicalMedicine, sub-terbitan jurnal perubatan terkemuka, The Lancet. Berdasarkan penyelidikan epidemiologi dan analisis urutan gen asid nukleik virus terdahulu, kluster yang tercetus di Guangzhou pada 21 Mei berpunca daripada strain Delta yang mempunyai rantaian penularan jelas.Kajian ini buat pertama kalinya mengesan dan mencatatkan sepenuhnya rantaian pemerebakan tersebut. Kluster berkenaan dikesan berlaku ketika seorang wanita berusia 75 tahun terdedah kepada virus, lalu menjangkiti tiga individu lain melalui kontak sesama keluarga.

Penyelidik mendapati, kontak rapat secara langsung atau tidak langsung antara saluran utama penularan varian Delta. Antaranya, 30.8 peratus jangkitan berlaku semasa waktu makan, diikuti  kontak sesama ahli keluarga (30.13 peratus) dan penularan komuniti (18.59 peratus), manakala sebanyak 19.87 peratus disumbang kontak sosial dan masa bekerja. Dapatan hasil penyelidikan juga menunjukkan, tempoh pengeraman strain Delta adalah pendek dan lebih cepat tersebar iaitu pengeraman median hanya 4.7 hari, jauh lebih singkat daripada strain jenis liar. Analisis subkumpulan lebih lanjut mendapati bahawa dalam kumpulan kes bukan kritikal, tempoh inkubasi virus (4.0 hari) strain mutasi Delta adalah lebih singkat berbanding strain jenis liar (6.0 hari).

Mutasi Delta mampu menular sehingga empat generasi dalam masa sepuluh hari, dan penularan sesama generasi paling cepat boleh berlaku dalam masa 24 jam. Antara dapatan lain ialah pesakit berusia 60 tahun ke atas yang dijangkiti varian Delta berisiko sebanyak 1.45 kali lebih tinggi mengalami penyakit kritikal berbanding jenis liar.

Di samping itu, jangkitan dengan strain Delta berkembang menjadi parah sebanyak 2.98 kali lebih cepat daripada strain liar. – Bernama

Seorang petugas perubatan mengumpulkan sampel bagi ujian koronavirus di Harbin, China. Penyelidik di negara itu merungkai rantaian penularan Delta yang menyaksikan sebahagian bandar China merekodkan jumlah jangkitan tinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini. – AFP