Penyelidikan bantu pengkaji memahami sukatan dos

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Universiti Brunei Darussalam dan Kementerian Kesihatan serta Duke-NUS Medical School Singapura telah menjalankan penyelidikan bersama bagi memahami reaksi antibodi terhadap vaksin.

Penyelidikan yang menumpukan mengenai antibodi sama ada terdapatnya perbezaan tindak balas dari segi umur mahupun mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit, akan membantu para pengkaji untuk memahami keperluan sesebuah penduduk yang memerlukan jumlah dos dan jenis vaksin yang tertentu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara tersebut semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung pada petang tadi.

Selain itu, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, penyelidikan seperti ini sangat diperlukan bagi para pengkaji terutamanya doktor kerana banyak perkara dapat dipelajari daripadanya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyatakan bahawa penyelidikan ini mungkin tidak dapat menolong buat masa ini namun boleh membuat persiapan yang lebih baik pada masa yang akan datang bagaimana kita boleh mengkoordinasi vaksinasi terutamanya bagi virus.