Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Penyelidikan saintifik pacu UTB capai wawasan Brunei

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan UTB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Dunia kini pesat berubah, daripada perubahan iklim, masalah kesihatan yang meningkat dan pandemik koronavirus, bermakna bahawa perubahan berhemat perlu dilaksanakan untuk mengatasi isu-isu yang bertambah supaya dapat memastikan hasil berpanjangan serta mampan.

    Dengan itu, ahli-ahli akademik Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah sekian lama menggabungkan sebuah kurikulum yang dinamik dalam program-program dan penyelidikannya yang tidak hanya menumpukan kepada mengekang cabaran-cabaran dunia berubah tetapi juga menyediakan pelajar dengan kemahiran profesional teras dan ilmu pengetahuan melangkaui hanya kefahaman akademik semata-mata.

    Ini akan menghasilkan graduan yang dilengkapi dengan kepakaran penting yang akan memastikan masa hadapan cerah bukan sahaja untuk universiti tetapi juga negara secara keseluruhannya.

    Pengarah Tri-CEd UTB, Dr Hajah Roslynna Haji Rosli mendapati bahawa teknologi pesat berubah yang bermakna Brunei perlu untuk menyesuaikan diri kepada perubahan itu supaya pelajar-pelajar dapat mengekalkan dan membangunkan kemahiran agar kekal relevan.

    Di samping itu, beliau juga menyatakan bahawa pendidik harus digalakkan untuk bergerak dari budaya spoon feeding ilmu pengetahuan dan sebaliknya, melahirkan graduan yang berdikari, mampu berfikir secara kritikal dan menyelesaikan masalah.

    ATAS & BAWAH: Dr Aida Maryam, Dr Hajah Roslynna, Dr Kabiru Maitama Kura dan Dr Rozia semasa berkongsi pendapat dan pengalaman mereka mengenai kurikulum UTB.

    Kualiti seumpama itu, tambahnya, akan menjadi aset yang bernilai dalam kehidupan profesional dan peribadi individu berkenaan.

    “Saya amat menyokong objektif strategik universiti, terutamanya dalam menghasilkan pelajar berdikari. Sebagai pensyarah, kami berpeluang untuk menanam kualiti dan kedayatahanan dalam graduan-graduan kami,” ujar beliau dalam memberi pandangannya dalam menyesuaikan stail pengajaran UTB untuk mempromosikan pemikiran berwawasan.

    Pensyarah dalam Sains Makanan dan Teknologi, Dr Aida Maryam Basri pula percaya bahawa pemindahan ilmu pengetahuan secara efisien adalah mustahak apabila membantu pelajar-pelajar untuk membangun.

    Beliau berpendapat bahawa mengongsi pengalaman penyelidikan serta pemahaman secara hands-on bagi pengajaran, di samping menyelia pelajar-pelajar dalam ilmu pengetahuan dan kemahiran analitikal khususnya dalam kimia harus bergerak seiring.

    Manakala itu, apabila menurunkan kemahiran inovatif dan teori-teori yang berkaitan kepada aplikasi dunia sebenar, pelatih-pelatih perlu memahami sepenuhnya teori serta prinsip di sebalik hal ehwal seharian supaya mereka dapat melaksanakannya dengan betul.

    Manakala itu, Penolong Profesor UTB School of Business, Dr Kabiru Maitama Kura berkata, dengan menggunakan konsep-konsep teoretikal kepada situasi dunia sebenar, pelajar-pelajar memperoleh lebih manfaat dalam pengalaman pembelajaran keseluruhan mereka.

    Tambahan lagi, beliau mendapati dengan menjadikan setiap sesi pembelajaran lebih interaktif, para pelajar lebih aktif terlibat di mana ia membawa kepada peningkatan dalam perjalanan pendidikan dan akademik mereka.

    “Sebuah strategi pembelajaran interaktif adalah lebih difahami dan memudahkan penyertaan pelajar dalam aktiviti pembelajaran.

    “Khususnya, penggunaan pengajian kes, pencambahan fikiran, penggunaan peranan dan video untuk mencapai dapatan pembelajaran yang optimum,” tambahnya.

    Menyentuh mengenai penyelidikan UTB dan sumbangannya kepada peningkatan kesedaran, Dr Hajah Roslynna baru-baru ini, telah mengemukakan cadangan bagi penjanaan tenaga boleh diperbaharui kepada Council for Research and Advancement in Technology and Science (CREATES), serta mempunyai tiga lagi projek PhD di mana beliau pada masa ini, sedang menyelidiki sumber tenaga pasang surut (tidal energy resource) di perairan Brunei di samping dua projek mengenai teknologi tenaga biojisim.

    Mengulas mengenai projek-projek berkenaan dan bagaimana penyelidikan itu akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga UTB serta negara, beliau berkata bahawa masih ramai yang tidak sedar akan bencana iklim yang berlaku dengan dunia terus mengeksploitasikan secara tidak bertanggungjawab sumber-sumber semula jadi bumi.

    “Kita perlu mengambil tindakan untuk memastikan generasi masa hadapan kita dapat menikmati sekurang-kurangnya kehidupan yang selesa. Sebagai sebuah universiti teknologi, UTB mempunyai peluang yang besar untuk menerajui inovasi teknologi dalam negara ke arah sebuah masa hadapan yang mampan,” tekannya.

    Tambahnya, beliau juga terlibat dalam pendrafan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei dan merupakan salah seorang sumber bagi United Nations Framework Covention on Climate Change (UNFCCC) bagi ASEAN Need Based Finance on Climate Change.

    Sementara itu, Dr Aida Maryam terlibat secara aktif dalam projek-projek penyelidikan mengenai pembangunan makanan mampan berdasarkan kepada tumbuh-tumbuhan perubatan tempatan.

    Selain daripada itu, beliau juga sedang mengkaji antioksidan serta aktiviti-aktiviti antikanser dalam produk makanan berfungsi baharu dan bagaimana rumusan, fisiokimia, khasiat, kestabilan dan sifat deria boleh dianalisis lagi supaya suatu hari pada masa hadapan dapat digabungkan dalam rawatan perubatan.

    Menurutnya lagi, penyelidikan berkenaan akan memberikan kesedaran dan pandangan kepada pelajar-pelajar lepasan ijazah dan sarjana muda universiti itu mengenai manfaat tumbuh-tumbuhan perubatan tempatan.

    Pada awalnya, jelas beliau, sesetengah pelajar tidak terdedah kepada banyak perubahan tumbuh-tumbuhan yang terdapat dalam negara tetapi menerusi penglibatan mereka dalam projek-projek berkenaan, mereka menjadi lebih peka serta membangunkan minat terhadap tumbuh-tumbuhan tempatan dan eksotik.

    Dr Aida menerangkan lanjut bahawa penyelidikan seperti itu menjadikan pelajar-pelajar lebih berminat dalam bertanam dengan mereka menyediakan bahan organik mereka sendiri bagi projek seumpama itu, daripada mereka membeli bahan-bahan mentah seperti tumbuh-tumbuhan dari pasar tempatan, di mana ia akan menjimatkan kos sambil menjadikan projek lebih mesra alam.

    Produk akhir daripada penyelidikan itu, jelasnya lagi, boleh membawa kepada beberapa paten dan pengkomersialan. Ia juga akan membawa kepada aspek ekonomi dan manfaat kesihatan negara berkaitan dengan industri makanan di mana secara keseluruhannya, projek penyelidikan itu menyumbang secara signifikan kepada pencapaian visi UTB untuk menjadi universiti global yang memberikan impak kepada masyarakat serta selaras dengan Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya dengan kualiti kehidupan yang tinggi serta ekonomi yang mampan dan dinamik.

    Pada masa yang sama, UTB juga secara aktif berkolaborasi dengan industri-industri strategik yang relevan bagi penyelidikan dan pembangunan kurikulumnya.

    Manakala itu, Dr Kabiru ketika mengulas persoalan jika penyelidikannya dapat memberikan manfaat kepada pelajarnya, universiti dan negara secara keseluruhannya, beliau berkata bahawa dengan penyelidikan sebagai satu petunjuk penting bagi universiti-universiti yang ingin mendapatkan ranking global, projek-projek penyelidikan dengan industri akan memberikan tambahan kepada pengeluaran penyelidikan universiti dalam artikel-artikel jurnal berimpak tinggi, di mana ia akan membawa kepada jumlah petikan yang tinggi dan pembaca yang meningkat.

    Pada masa yang sama, ia juga akan membantu kerajaan untuk membangunkan dan melaksanakan dasar-dasar untuk negara.

    Penolong Profesor, Dr Rozia binti Haji Adena yang pada masa ini, sedang mengajar seni bina di bawah School of Design (SDe) UTB, di mana sebelum ini, beliau bertugas dalam bidang seni bina, mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam berkaitan sektor seni bina dan apa yang diharapkan daripadanya.

    Pengalaman pekerjaan beliau juga membolehkannya untuk mencurahkan kepakaran yang diperolehnya kepada pelajar-pelajar dalam amalan profesional.

    Dengan pengalaman dalam industri sebelum ini, beliau mempunyai perspektif yang baik mengenai apa yang diharapkan apabila pelajar-pelajar berkenaan mula bekerja selepas UTB terutamanya arkitek muda.

    Dalam hubungan itu, jelasnya, bimbingan dalam mempersiapkan mereka supaya menjadi lebih bersedia untuk industri merupakan perkara yang penting dalam pengajarannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...