Sunday, January 26, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyeludup didenda lebih $1 juta

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, memerintahkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 33 tahun untuk membayar denda $1,440,000 kerana menyeludup 1,800 karton rokok atau dipenjarakan selama 36 bulan.

    John anak Along juga diarahkan untuk membayar denda $900 atau dipenjarakan sebulan, kerana memasuki negara ini tanpa melalui pos kawalan sempadan, serta tiga bulan penjara dengan tiga kali sebatan kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

    Tidak mampu membayar denda yang tinggi itu, John memilih untuk menjalani hukuman penjara 40 bulan dengan tiga sebatan.

    Majistret Harnita Zelda Skinner mendengarkan daripada pihak pendakwaan bahawa defendan telah memasuki negara ini dari Limbang bersama dua lelaki lain dengan menggunakan bot.

    Pada 21 November sekitar tengah malam, sepasukan pegawai kastam terjumpa bot hitam sepanjang 23 kaki yang mencurigakan semasa satu operasi di Sungai Brunei.

    Lelaki-lelaki berkenaan cuba melarikan diri, menyebabkan pegawai penguat kuasa mengejar mereka. Pegawai-pegawai tersebut juga melihat barangan dibuang ke dalam sungai.

    Apabila pegawai-pegawai berkenaan berjaya mengejar bot berkenaan, dua daripadanya melarikan diri dengan terjun ke sungai, meninggalkan defendan.

    Pegawai-pegawai kastam menahan defendan dan mendapatkan semula barangan yang dibuang ke sungai.

    Defendan juga dihantar ke Pusat Pengasingan Perkampungan Sukan di mana dia menjalani ujian swab bagi COVID-19. Keputusannya menunjukkan bahawa dia dijangkiti virus tersebut.

    Setelah sembuh, defendan membuat pengakuan kepada para penyiasat bahawa dia bersetuju untuk membantu dalam operasi penyeludupan itu dengan bayaran RM250 dan salah seorang yang melarikan diri itu yang menguruskan penghantaran barangan tegahan berkenaan.

    Dia juga mengaku memasuki negara ini secara haram, memintas pos kawalan imigresen dan tanpa dokumen perjalanan sah.

    Timbalan Pendakwa Raya Nor ‘Adliatul Hidayah Haji Mohd Zaidi menjalankan pendakwaan bagi kes tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda