Penyeludup tumpas di tangan pihak berkuasa

Oleh Yusrin Junaidi

TEMBURONG, 19 OGOS – Insiden kejar-mengejar berlaku apabila seorang lelaki warga tempatan yang cuba menyeludup minuman keras enggan memberhentikan kenderaan yang dipandunya ketika diarahkan oleh anggota polis yang sedang membuat rondaan di Kampung Belayang, Daerah Temburong, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), suspek berusia 24 tahun bersama kenderaan kemudian berjaya ditahan selepas terlibat dengan kemalangan di kawasan Jalan Kota Batu, Bandar Seri Begawan.

Kenyataan menjelaskan, insiden bermula apabila anggota Balai Polis Bangar yang sedang membuat rondaan pemantauan mendapati sebuah kenderaan yang mencurigakan sedang keluar daripada persimpangan Kampung Belayang.

Suspek telah dikerahkan untuk memberhentikan kenderaan namun enggan dan memecut laju melarikan diri menuju ke Jambatan Sultan Haji Omar β€˜Ali Saifuddien (SHOAS) yang membawa kepada insiden kejar-mengejar.

Setelah ditahan, pemeriksaan menemui sejumlah bungkusan kotak hitam tersimpan di kawasan tempat duduk penumpang hadapan dan ruangan simpanan bonet kenderaan dipercayai minuman keras berjumlah 108 botol.

Suspek dan kenderaan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan awal dan kemudian diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

Kenyataan menegaskan, PPDB akan sentiasa meningkatkan lagi kekerapan rondaan dan pemeriksaan rambang di kawasan-kawasan pengawalan bagi memastikan kegiatan-
kegiatan jenayah penyeludupan dibanteras dengan sebaiknya di samping menyahut seruan kerajaan dalam memantau dan mengambil tindakan kepada individu yang melanggar Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Keadaan kereta suspek yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan semasa insiden kejar-mengejar berkenaan.
Bungkusan plastik hitam berisi minuman keras ditemui di kawasan tempat duduk penumpang hadapan.