Penyeludupan 1,800 liter diesel digagalkan

SANDAKAN, 14 Mei – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan 1,800 liter minyak diesel dengan rampasan dianggarkan bernilai RM20,839 di Jalan Labuk di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Pajeri Ali berkata PPM Sandakan merampas 37 jerikin berisi minyak diesel dan tiga tong dram berjumlah 1,800 liter disyaki untuk diselewengkan di pasaran.

“Bertindak atas maklumat Unit Risikan Marin (URM), dalam operasi Op Landai PPM telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori pada 1 tengah hari.

“Pemeriksaan lanjut turut dibuat ke atas tiga lelaki yang memunggah jerikin tersebut yang mana dua lelaki warganegara masing-masing berumur 51 dan 43 tahun, manakala seorang lagi lelaki warga asing berumur 30 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Pajeri, tangkapan dan rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3 Kawalan Bekalan. Beliau berkata sindiket penyeludupan minyak menggunakan pelbagai teknik bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa untuk pasaran tempatan mahupun dibawa keluar negara. – Bernama