Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyeludupan minuman keras berjaya dihalang

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Adegan kejar-mengejar telah berlaku apabila sebuah kenderaan yang mencurigakan memecut laju melarikan diri sejurus menyedari kehadiran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan penurunan perahu Kampung Meniup, Daerah Temburong sekitar 7:36 malam tadi.

    Insiden berkenaan berakhir dengan kejadian kemalangan melibatkan kenderaan suspek, menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, di sini, hari ini.

    Menurut PPDB, semasa kejadian tersebut keanggotaan Balai Polis Bangar, PPDB sedang giat menjalankan rondaan rutin pencegahan jenayah apabila mendapati individu (suspek) sedang memunggah barangan dari sebuah perahu ke dalam kenderaan.

    Suspek segera memasuki kenderaan itu dan melarikan diri bersama dua orang penumpang di dalamnya.

    Suspek telah melakukan pemanduan yang berbahaya dalam perjalanan dari Kampung Bokok ke Kampung Sibulu sehingga hilang kawalan lalu merempuh pagar besi keselamatan jalan raya. Kesemua suspek dalam keadaan stabil dan tidak cedera.

    Antara barang tegahan yang telah dirampas oleh PPDB sewaktu membuat rondaan di kawasan Bangar, Daerah Temburong. – Gambar serahan PPDB.

    Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah mendapati sebanyak 96 botol dan 347 tin minuman keras pelbagai jenama.

    Di samping itu, beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah turut dirampas bagi siasatan.

    Suspek (pemandu) merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 47 tahun, manakala dua orang suspek (penumpang) lagi adalah perempuan warganegara tempatan yang berumur 36 dan 41 tahun.

    Kesemua barang tegahan dan peralatan dadah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi siasatan lanjut.

    Kenyataan menegaskan, PPDB akan meningkatkan kekerapan rondaan dan pemeriksaan rambang di kawasan zon panas bagi memastikan negara bebas daripada jenayah rentas sempadan.

    Di samping itu, PPDB juga mengingatkan masyarakat agar memainkan peranan sewajarnya sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan tampil atau mengongsikan membuat laporan jika mengesan aktiviti dan individu yang mencurigakan di kawasan mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda